Order mangga Harum Manis, yang sampai batu bata
Membuat pesanan mempelam harumanis secara dalam talian, namun apa yang diterima pelanggan adalah batu-bata.
Itu salah satu daripada 11 aduan yang diterima Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri berkaitan transaksi dalam talian iaitu tidak menerima barangan dan perkhidmatan ditawarkan sejak awal tahun sehingga kini.
Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, aduan yang disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 tersebut melibatkan tuntutan oleh individu dari luar negeri ini kerana diperdaya oleh penjual dalam talian.
Katanya, tindakan peniaga dalam talian yang melibatkan jualan harumanis bernilai RM100 itu secara tidak langsung boleh menjejaskan nama baik industri mempelam berkenaan di negeri ini.
“Bagaimanapun, kes tersebut telah diselesaikan di luar dan tidak difailkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Perlis. Untuk kes pembelian dalam talian yang dibawa dan difailkan ke TTPM pula adalah lapan kes sahaja daripada jumlah keseluruhan aduan tersebut dengan nilai tuntutan sebanyak RM37,016,18.
“Tuntutan tersebut termasuklah kes pembelian barangan seperti pakaian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pra Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di pasar raya The Store di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatan kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Azizan Sulaiman dan Pengurus Kanan The Store (Malaysia) Sdn. Bhd., Khor Sue Liang.
Sementara itu, Azizan berkata, pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dalam proses perbincangan mewujudkan daftar niaga dalam kalangan peniaga dalam talian yang bertujuan untuk melindungi pelanggan dan juga mengelak daripada aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, perkara tersebut masih lagi dalam proses perancangan dan perbincangan sedang dibuat dengan pihak berwajib termasuk penasihat undang-undang.
“Jika tidak ada masalah ia boleh dilakukan dalam masa terdekat. Kita mahu wang yang masuk ke dalam akaun tersebut adalah daripada sumber yang betul dan menghindarkan pengubahan wang haram.
“Sebenarnya daftar niaga ini sudah pun dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP) di Pulau Pinang,” ujarnya. – UTUSAN