Warisan tidak tahu kandungan MoU Kerajaan – PH

 

Parti Warisan Sabah (Warisan) hanya bersetuju dengan gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mengenai pelaksanaan Undi 18 tahun yang perlu disegerakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, di luar perkara itu, Warisan tidak terlibat dengan sebarang rundingan lain termasuk usaha menjayakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) untuk mengembalikan kestabilan politik negara.

“Saya dan seluruh anggota parti tidak terlibat dengan sebarang rundingan dengan Pakatan Harapan dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita (Warisan) tidak tahu menahu apa kandungan yang telah dibincang dengan mereka. Tidak mungkin boleh tandatangan sesuatu perkara yang tidak tahu segala-galanya sama ada berhubung kait dengan CSR atau akta anti lompat parti.

“Yang kami tahu isu undi 18 tahun sahaja yang kami setuju dan perkara ini sudah pun dibawa oleh kerajaan sejak dahulu lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kerajaan Persekutuan akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan gabungan Pakatan Harapan (PH), pukul 5 petang ini di Dewan Bankuet, Parlimen.

MoU itu bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik negara, menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan kerjasama secara dwi-partisan.

Dalam satu kenyataan bersama kerajaan dan pembangkang semalam, MoU itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amana), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Semalam, Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan PH mengenepikan parti pembangkang lain dalam rundingan CSA dengan kerajaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook menafikan dakwaan tersebut bahawa PH mengeNepikan parti-parti pembangkang lain dalam rundingan CSA) bersama kerajaan kerana pimpinan tertinggi PH sudah mengadakan perbincangan dengan semua pimpinan parti pembangkang lain berkenaan proses rundingan dengan Putrajaya.

Untuk rekod, PH dianggotai oleh PKR, DAP, UPKO dan Amanah manakala Warisan dan Pejuang tidak secara berada dalam gabungan itu namun memainkan peranan sama di barisan pembangkang.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply