Pelawat ke Beijing dikenakan sekatan ketat baharu
Pelawat ke Beijing dikenakan sekatan ketat baharu
BEIJING: Sekatan ketat yang baharu bagi membendung penularan COVID-19, dikenakan terhadap pelawat ke Beijing, berkuat kuasa hari ini.
Pelaksanaan itu antara lain memerlukan pelawat mencatat keputusan negatif ujian COVID-19, manakala penerbangan domestik dikurangkan secara dramatik, dalam langkah ibu kota China ini meningkatkan usaha mengekang perebakan virus berkenaan menjelang temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Februari tahun depan.
Dengan berbaki kurang 100 hari lagi, China giat bersiap siaga untuk menghadapi cabaran strategi sifar COVID-19 apabila ribuan atlet antarabangsa dijadualkan bakal tiba di Beijing, selepas pelaksanaan kawalan sempadan yang ketat selama berbulan-bulan.
Semua pelawat ke Beijing kini mesti mencatat keputusan negatif ujian COVID-19 dalam tempoh 48 jam sebelum itu.
Selain itu, penerbangan dari kawasan berisiko lebih tinggi di China, akan dibatalkan atau dihadkan kepada satu saja sehari dengan kapasiti yang dikurangkan.
“Beijing adalah ibu kota serta mempunyai hubungan wilayah dan antarabangsa yang kukuh. Virus itu mesti tidak dibawa masuk ke Beijing serta mesti tidak menular dalam Beijing,” kata jurucakap bandar itu, Xu Hejian, pada sidang media, semalam.
Malah, sekatan baharu itu menyaksikan lebih 30,000 pekerja sektor import produk rantaian sejuk di Beijing, dikehendaki menjalani ujian COVID-19 setiap tiga hari.
China memaklumkan bahawa penularan sebelum ini dalam kalangan pekerja pasar di Beijing dan kakitangan limbungan di Qingdao, timur China, adalah berkait dengan produk rantaian sejuk.
China kini mencatat kes COVID-19 yang jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain, dengan hanya lapan penularan tempatan dilaporkan, hari ini.
Namun, pihak berkuasa enggan mengambil sebarang risiko dan terus memfokus langkah berjaga-jaga apabila Beijing menjadi tumpuan antarabangsa menjelang temasya sukan musim sejuk itu nanti.
Tiada penonton dari luar China akan dibenarkan menghadiri temasya sukan berkenaan yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 20 Februari tahun depan dalam gelembung ‘gelung tertutup’.
Anggaran 2,900 atlet pula mesti sudah vaksinasi lengkap atau dikehendaki menjalani kuarantin 21 hari sebaik saja tiba. Mereka juga mesti menjalani ujian COVID-19 setiap hari. – AFP
Pelawat ke Beijing dikenakan sekatan ketat baharu
Disyorkan Untuk Anda :
- “Fitnah terus jadi kempen pihak pembangkang” – Najib
- Timbalan Pengerusi Giat Mara kantoi memfitnah
- UMNO tidak lemah – Tok Mat Hasan
- EKSKLUSIF!!! Pemilik gerai kesal Kelab Che Det memfitnah kehadiran Najib
Lawati Laman Facebook kami