Harga bahan mentah dijangka meningkat 10-20%
Ancaman wabak covid-19 masih masih menjadi kebimbangan berterusan, namun sentimen pengguna kian meningkat, menurut Kenanga Research.
Dalam nota penyelidikannya firma penganalisis itu berkata, pasaran kekal dalam arah aliran menurun, sejak Oktober, berikutan kebimbangan global mengenai pelancaran vaksin yang perlahan terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah.
Selain itu, ancaman varian baharu yang muncul turut mengheret pasaran memandangkan pelaksanaan dos penggalak lambat dilancarkan.
“Indeks Sentimen Penggunaan MIER telah menunjukkan sentimen yang tidak menentu sejak Mac 2020 apabila perintah berkurung dilaksanakan untuk membendung wabak covid-19.
“Memandangkan sekatan mula dilonggarkan pada pertengahan September dengan pelbagai negeri memasuki Peringkat 4 Fasa Pemulihan Nasional, sentimen perlahan tetapi terus meningkat,” katanya dalam nota kajian di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, Kenanga berkata pihaknya positif dengan lonjakan semula aktiviti ekonomi selepas aktiviti perniagaan kembali dibenarkan.
Menurutnya, harga input akan berada pada paras yang lebih tinggi apabila pemulihan ekonomi global semakin pantas sekali gus menimbulkan pelbagai cabaran – kenaikan harga input ditambah dengan peningkatan kos pengangkutan apabila bekalan cuba mengatasi peningkatan permintaan.
“Dengan harga bahan mentah dilihat meningkat sebanyak 10 hingga 20% pada tahun 2022, pengeluar dijangka menyerahkan kos yang semakin meningkat kepada pengguna dengan risiko jualan yang lebih rendah,” katanya.
Selebihnya, Kenanga Research kekal neutral untuk sektor pengguna memandangkan risiko harga input yang tidak menentu.
“Walaupun kami positif memandangkan pelonggaran sekatan dan permintaan terpendam yang disokong oleh perayaan yang akan datang, kami tetap berwaspada dengan kadar pemulihan yang agak tidak sekata di tengah-tengah gangguan bekalan dan potensi ancaman varian COVID-19 baharu yang kian menular,” jelasnya.
Artikel asal disiarkan diĀ DagangNews.com