Calon MUDA dikompaun RM1,000
JOHOR BAHRU: Akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), dikompaun RM1,000.
Azrol Rahani dikenakan tindakan itu akibat gagal mengamalkan penjarakan sosial dengan membuat fist bump atau laga penumbuk dengan penyokongnya di luar pusat penamaan calon pada Sabtu lalu.
Azrol Rahani dikenakan dikenakan kompaun oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kulai di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
MUDA dalam satu kenyataan, semalam berkata kesalahan yang dinyatakan adalah ‘Individu gagal membuat penjarakan fizikal (sentuhan tangan) di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Permai Dewan Raya Bandar Putra Kulai’.
Jumlah kompaun yang dikenakan adalah RM1,000.
Menurut kenyataan itu, kesalahan penjarakan fizikal yang dirujuk adalah perbuatan ‘first bump’ antara calon dan penyokong di luar pusat penamaan calon berkenaan.
“MUDA memberikan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa.
“MUDA berpandangan bahawa kompaun yang dikenakan ini jelas tidak munasabah, tidak berlandaskan kepada butiran SOP yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan jelas boleh mengganggu kelancaran kempen setiap calon.
“MUDA juga menerima maklumat berkenaan majlis keraian yang dilakukan oleh pemimpin parti lain yang melanggar SOP dengan lebih jelas dan pada skala yang lebih besar.
“Ia perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib,” katanya.