Hanya bayar RM3,000 dapat nikah di Thailand
KOTA BHARU: “Saya membayar RM3,000 kepada ejen nikah Thailand semata-mata mahu menjadi isteri kedua selepas tidak mendapat restu daripada keluarga.
Demikian luahan seorang wanita yang mahu dikenali Siti berusia 40 tahun yang berkahwin di selatan Thailand, menggunakan perkhidmatan sindiket nikah.
Siti berkata, dia dan suami ketika itu terpaksa mengambil langkah berkenaan memandangkan isteri pertama suami tidak mengetahui pernikahan itu, selain keluarganya tidak mengizinkan dia menjadi isteri kedua.
Katanya, dia berkahwin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Januari tahun lalu dan situasi mereka yang tidak mendapat restu di kedua-dua pihak menyebabkan mereka buntu memikirkan masa depan, sedangkan sudah jatuh cinta.
“Saya dan suami nekad berkahwin di Thailand selepas melihat tawaran melalui Facebook oleh ejen yang mampu menyelesaikan masalah kami.
“Sebaik melihat tawaran berkenaan, saya menghubungi ejen terbabit dan dia memberi pilihan sama ada kami mahu masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah atau Rantau Panjang, Kelantan.
“Memandangkan saya ketika itu bekerja di Terengganu, saya memilih masuk melalui Rantau Panjang dan suami pula datang dari Kuala Lumpur,” katanya.
Siti berkata, mereka dibawa ke satu tempat di Golok, Thailand di mana wali serta saksi sudah disediakan oleh ejen berkenaan.
“Proses nikah berjalan dengan lancar dan dalam masa hampir satu jam akad nikah kami sudah selesai. Bayaran sebanyak RM3,000 itu saya bayar sebaik semuanya selesai.
“Bagaimanapun, sehingga kini kami belum mendaftarkan perkahwinan kami di pejabat agama memandangkan keluarga saya dan isteri pertama suami belum mengetahui perkahwinan kami,” katanya yang kini bekerja sebagai kerani di Kota Bharu.
Mengakui apa yang dilakukannya itu salah, namun Siti hanya mampu berdoa supaya keluarganya dapat menerima suaminya sebaik rahsia mereka didedahkan nanti.
Sementara itu, seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Jawahir, 36, berkata sebelum ini dia beberapa kali cuba menggunakan khidmat ejen nikah Thailand namun ditipu oleh mereka sehingga mengalami kerugian hampir RM10,000.
“Disebabkan kecewa dengan apa yang berlaku, saya dan pasangan, iaitu isteri kedua sanggup pergi sendiri ke Thailand tanpa bantuan ejen.
“Sebaik sampai di pekan Golok, saya menaiki teksi dan meminta mereka menghantar kami ke Majlis Agama Islam Narathiwat dan kami selamat bernikah dalam masa satu jam.
“Lebih mengejutkan apabila kos yang kami habis tidak sampai RM1,000 jika dibandingkan kerugian yang sudah saya alami sebelum ini,” katanya.
BHOnline