Jaik pantau lokasi makan kaki ponteng puasa

GAMBAR hiasan

Alor Setar: Beberapa lokasi tumpuan kaki ponteng puasa atau ‘geng plastik hitam’ di negeri ini dalam pemantauan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jaik Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, antara daerah yang menjadi tumpuan geng kaki ponteng puasa ini adalah Kota Setar, Kubang Pasu, Kulim dan Kuala Muda.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman tahun sebelum ini, banyak tangkapan dilakukan di empat daerah berkenaan yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa termasuk makan di kedai bukan Islam.



“Taktik yang digunakan ialah membeli nasi bungkus pakej berserta minuman dalam plastik hitam dengan harga RM5 atau RM10 yang kemudian diletakkan dalam kotak sebelum diambil kaki ponteng puasa.

“Selain itu, kita juga percaya mereka turut menggunakan pesanan makanan melalui khidmat p-hailing dan biasanya hanya seorang dua akan pergi ambil makanan itu dan bawa ke kawasan yang terlindung termasuk hutan dan semak untuk makan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, seramai 100 anggota penguat kuasa Jaik di negeri ini akan melakukan pemantauan berterusan untuk memastikan tidak ada yang makan di khalayak ramai ketika bulan puasa ini.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan penguat kuasa dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan pemeriksaan bersepadu bagi memantau lokasi premis yang menjadi tumpuan kaki ponteng puasa makan.



“Pihak PBT mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis yang menjual makanan bermasak sebelum 3 petang kepada umat Islam yang tidak berpuasa dan makan di situ.

“Pemantauan juga akan dilakukan bagi memastikan tidak ada penjualan makanan dalam but kereta kepada mereka yang tidak berpuasa seperti tahun sebelum ini,” katanya.

Katanya, sekiranya didapati ada yang makan minum di khalayak awam, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button