Kes keracunan makanan meningkat Ramadan lalu

Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan peningkatan kes keracunan makanan semasa bulan Ramadan pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 39 kes dilaporkan pada 2021 berbanding 22 kes pada 2020.

“Hal ini berkemungkinan besar disumbangkan oleh pembelian juadah makanan di luar selepas kebenaran pengoperasian bazar Ramadan dilaksanakan tahun lalu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.



“Namun secara keseluruhan episod keracunan makanan di negara ini menunjukkan tren penurunan. Dalam situasi pandemik Covid-19, kes keracunan menurun sebanyak 31.6 peratus iaitu daripada 288 kes pada 2020 kepada 197 kes tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, KKM memandang serius mengenai kes keracunan makanan dan mengingatkan masyarakat supaya memastikan makanan disediakan bersih serta selamat.

Kata beliau, lima kunci keselamatan perlu diamalkan iaitu menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan, menggunakan peralatan berasingan untuk makanan mentah bagi mengelak pencemaran makanan dimasak, masak dengan sempurna, simpan makanan sedia dimakan pada suhu bersesuaian serta gunakan bahan mentah segar selain air bersih untuk memasak.

“Konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan juga hendaklah diamalkan supaya dapat mengelakkan memakan makanan yang rosak,” katanya.



Katanya, KKM menasihati peniaga supaya sentiasa menitikberat aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Dalam pada itu, masyarakat juga diingatkan supaya terus mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu semasa membeli makanan demi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button