Skuad PUBG Tabah-NSEA fokus pingat Sukan SEA
Seremban: Pembabitan skuad Tabah-NSEA dalam Liga Profesional PUBG Mobile Malaysia dan Singapura (PMPL MY/SG) yang sedang berlangsung menjadi medan terbaik buat atlet memperkemaskan lagi prestasi menjelang temasya Sukan Sea Vietnam.
Skuad Tabah-NSEA akan menggalas cabaran negara pada temasya sukan terbesar rantau ini yang bakal berlangsung dari 12 hingga 23 Mei depan.
Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA), Muhammad Faries Faizal berkata, PMPL yang bermula dari 25 Mac lalu dan akan berakhir 17 April ini memberi peluang buat atlet memantapkan lagi prestasi masing-masing.
Katanya, walaupun apapun keputusan yang bakal mereka capai pada kejohanan itu yang kali ini turut membabitkan penyertaan pasukan Filipina, namun ia diharap akan dapat memberi impak positif kepada kekuatan atlet sebelum bersaing di Vietnam nanti.
“Kejohanan PMPL itu boleh disifatkan sebagai medan pemanas badan buat atlet kita sebelum mereka menggalas cabaran lebih besar di Vietnam nanti.
“Setakat ini persiapan kita untuk ke Sukan Sea amat memberangsangkan dan semua atlet sedang fokus kepada usaha meningkatkan lagi prestasi masing-masing kerana kita sudah meletakkan sasaran untuk merangkul satu pingat emas buat kontinjen Malaysia,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Faries, satu latihan pusat akan diadakan di Seremban dari 25 Apr hingga 10 Mei depan, sebagai persiapan terakhir sebelum berhadapan cabaran sebenar nanti.
Katanya, latihan pusat berkenaan akan turut membabitkan penyertaan pegawai sains sukan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“Kita panggil pegawai sains sukan untuk membantu memantapkan kekuatan mental atlet kerana cabaran di Vietnam adalah sengit dan sukan dijangka,” katanya.