Chelsea membelasah Southampton 6-0

LONDON: Pengendali Chelsea Thomas Tuchel memuji anak buahnya yang bangkit daripada minggu sukar dengan membelasah Southampton 6-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Tiga kali percubaan Timo Werner terkena tiang tetapi dia masih meledak dua gol untuk Chelsea yang kembali meraih kemenangan selepas dibelasah 4-1 oleh Brentford dan 3-1 di tangan Real Madrid dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah.

Mason Mount turut menjaringkan dua gol, dengan Marcos Alonso dan Kai Havertz masing-masing menyumbang satu gol.



Chelsea 4-0 di depan selepas 30 minit permainan dan menjaringkan dua gol lagi dalam tempoh 10 minit pertama babak kedua aksi di Stadium St Mary’s.

Kemenangan keempat dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris mengukuhkan lagi kedudukan Chelsea menamatkan musim ini di tangga ketiga.

“Ia persembahan yang sangat bagus dan kemenangan yang patut diraih. Ia stadium yang sukar tetapi kami membuatkannya kelihatan mudah.

“Kami begitu fokus ketika menyerang jadi ia persembahan yang sangat baik dan keputusan cemerlang. Terus kami nampak seperti kembali fokus dan mampu mengubah keadaan.



Kami bersungguh-sungguh ketika merebut bola dan sentiasa berbahaya. Kami mencipta banyak peluang untuk menjadikan perlawanan milik kami lebih awal,” kata Tuchel.

Bagaimanapun Tuchel masih merasakan tugas untuk memadamkan defisit di tangan juara 13 kali Eropah, Real Madrid Selasa ini tidak semudah aksi di Southampton.

“Pertama sekali penting buat kami untuk menyelesaikan tugas di sini. Tugas seterusnya adalah amat sukar dan ia tidak akan berubah. Kami melakukan apa yang sepatutnya dan ia adalah berita baik,” katanya.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button