Kak Chah tak menyerlah kalah

PETALING JAYA: Diuji dengan masalah kewangan hingga terpaksa menutup restoran kesayangan tahun lalu antara dugaan hebat terpaksa dilalui penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara sejak dua tahun lalu.

Walaupun berat hati untuk membuat keputusan itu, namun enggan dibebani masalah hutang akhirnya Restoran Puteri cawangan Brickfields diusahakan bersama rakan kongsi yang juga pelakon veteran, Rubiah Suparman terpaksa dihentikan operasinya selepas 37 tahun menabur bakti.

Meskipun berat dugaan menimpa, namun semangat Habsah atau lebih mesra disapa Kak Chah dalam perniagaan tidak pernah goyah. Buktinya walaupun dalam kepayahan, beliau tetap berusaha mempertahankan satu-satunya restoran yang dimiliki, iaitu Restoran Puteri yang terletak di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.



“Sejak pandemik melanda, restoran itu tidak pernah ditutup. Walaupun bisnes tidak begitu bagus terutama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, namun kami memutuskan untuk meneruskan operasi.

“Malah, kami juga tidak membuang pekerja atau memotong gaji mereka. Ini dilakukan kerana kami menghargai kesetiaan mereka selama ini.

“Justeru, untuk menampung kos operasi, kami peruntukkan pendapatan daripada perniagaan kami yang lain untuk disubsidikan kepada restoran itu,” cerita Habsah.

Sangkanya, dugaan itu terhenti setakat itu sahaja, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ada yang menyangka restoran itu ditutup.



Mengulas lanjut, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ini, berkata perkara itu menjawab pertanyaan mengapa restorannya itu ‘sepi’ sejak kebelakangan ini.

“Memang ramai kawan-kawan yang bertanya apakah benar restoran saya sudah ditutup. Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita ini boleh tersebar sedangkan hakikatnya restoran ini masih lagi beroperasi.

“Bukan sahaja kawan, saudara mara tetapi tuan punya tanah itu turut bertanyakan perkara sama. Keadaan ini sangat menghairankan. Patutlah sejak kebelakangan ini tidak ramai pelanggan yang datang.

“Saya berdoa semoga kami dihindari daripada permainan yang pelik-pelik. Saya juga memohon supaya sentiasa dilindungi Tuhan dan dikembalikan rezeki seperti sebelum ini,” luah Habsah.



 ENGGAN MENYERAH KALAH

Enggan menyerah kalah dan mahu terus bersikap positif, Habsah menaruh harapan semoga tempoh fasa peralihan ke endemik bermula 1 April lalu membawa perubahan yang lebih baik dalam perniagaan makanan dijalankan.

“Sebelum ini kita memang sudah terkesan dari segi ekonomi dan juga emosi berikutan pandemik yang melanda. Saya yakin, fasa peralihan ke endemik seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu mampu membawa impak positif kepada semua pihak terutama golongan peniaga seperti kami.

“Meskipun sudah diberikan kelonggaran, kita kenalah juga sentiasa beringat untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Tak mahulah nanti selepas diberi kebebasan, tiba-tiba terpaksa menempuh PKP sekali lagi disebabkan kecuaian sendiri,” tegasnya.

Bersempena ketibaan bulan yang mulia ini, restoran terletak di atas bukit itu menawarkan sajian bufet berkonsepkan makanan kampung untuk menu utama serta pelbagai juadah sampingan yang menjadi tanda dagang restoran itu sejak dulu lagi.



“Untuk bufet Ramadan ini, kami menyediakan lebih 50 juadah istimewa. Setiap minggu kami akan menukar menu untuk hidangan utama. Ini bertujuan untuk memenuhi cita rasa pelanggan yang pelbagai,” katanya.

“Bagaimanapun, juadah istimewa kami seperti sate, soto dan laksa akan dikekalkan kerana itu adalah tarikan utama restoran ini,” ujarnya.

Harga yang ditawarkan adalah RM75 untuk dewasa, manakala RM48 untuk kanak-kanak.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button