‘Allah gerakkan hati untuk buang mata kanan anak’

Kuala Lumpur: “Allah gerakkan hati kami untuk membuang mata kanan anak saya supaya dia boleh teruskan kehidupan,” luah Nur Amni Zulkifli.

Amni, 36, merupakan ibu kepada Yusuf Khayr Ahmad Fauzi yang menghidap kanser mata (Retinoblastoma) tahap akhir sejak anaknya itu berusia 30 bulan.

Menurutnya, anaknya itu didiagnos menghidap kanser sejak dalam rahim lagi namun ketika itu penyakit berkenaan tidak dapat dikesan.



“Malah, Yusuf juga tidak menunjukkan sebarang tanda (sakit) sejak bayi. Penyakit ini hanya dikesan ketika dia berusia dua tahun.

“Kami membuat ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di Hospital Sungai Buloh dan doktor mengesan sel kanser dalam dua mata anak saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, katanya, menerusi ujian itu doktor mengesahkan anaknya menghidap kanser mata (Group E) iaitu tahap akhir dalam kanser berkenaan.

Katanya, dia dan suaminya bersetuju untuk membuang mata kanan anaknya seperti dicadangkan doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menghentikan sel kanser merebak ke otak.



“Kanser ini jika ia tidak merebak ke otak, peratus untuk hidup adalah tinggi dan saya mengambil keputusan ini sebagai usaha untuk menyembuhkan anak saya.

“Apabila mata kanan dibuang, kami teruskan krioterapi (Cytrotheraphy) dan rawatan laser untuk mata kiri.

“Anak saya menjalani kimoterapi (Chemotheraphy) sebanyak enam kitaran bermula dari bulan 8 hingga 12 pada tahun 2018,” katanya.

Amni berkata, dia bersyukur kerana hasil rawatan dilakukan, Yusuf kini boleh melihat dengan jelas menggunakan mata kiri serta tiada sel kanser yang dikesan.



Menurutnya, anaknya yang kini sudah berusia enam tahun itu menggunakan posotesis iaitu mata batu untuk mata kanan yang berharga RM100 dan memerlukan penjagaan yang bersih.

“Walaupun mata batu tersebut tidak boleh melihat namun anak saya gembira dan selesa menggunakannya.

“Mata itu senang dijaga kerana ia hanya perlu dicuci dengan menggunakan air paip apabila banyak tahi mata (discharge),” katanya.

Katanya, dia terkejut dan tidak menyangka video perkongsiannya yang mencuci mata batu anaknya meraih perhatian sebanyak 1.8 juta penonton di TikTok.



“Saya terima pelbagai komen dan ada juga yang menghantar mesej secara peribadi untuk memberikan anak saya hadiah. Saya bersyukur kerana maklum balas diberikan orang ramai adalah positif,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button