Polis buru pemandu kereta lawan arus

Seremban: Polis sedang menjejaki pemandu kereta yang dikesan meandu lawan arus di Kilometer (KM) 13.2, Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH) arah utara, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya belum mengenal pasti identiti pemandu kereta hitam itu, namun sedang menjejakinya.

“Kira-kira 8 malam tadi, polis mengesan satu video tular berdurasi 19 saat di media sosial Facebook yang memaparkan satu kejadian sebuah kereta disyaki jenis Proton Preve berwarna hitam yang dipandu secara melawan arus di SPDH.



“Siasatan lanjut mendapati kejadian tular itu berlaku kira-kira 11.15 pagi kelmarin. Kereta ini bergerak di lorong kecemasan secara melawan arus menuju ke arah utara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam rakaman tular itu, kenderaan itu kelihatan menghidupkan lampu isyarat kecemasan.

Nanda berkata, perbuatan itu boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu itu sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Justeru, pihak polis sedang giat mengenal pasti dan mengesan pemandu kereta terbabit…. Individu ini diminta untuk tampil menyerahkan diri.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sebarang makluman mengenai kejadian ini, boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban, Inspektor Sankar di talian 014-6000353,” jelas beliau.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button