Membayar untuk bertaubat kerja orang jahil
KOTA BHARU: Kemunculan kegiatan yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20 adalah satu penipuan yang cuba mengambil kesempatan di atas kejahilan mereka yang kurang pendidikan agama.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, mereka yang berpengetahuan agama, pasti tidak mudah tertipu dengan tawaran songsang seperti itu.
Katanya, bertaubat terserah kepada individu dengan Allah SWT secara terus kecuali membabitkan hak manusia di mana manusia perlu mendapat kemaafan sesama manusia, namun dengan Allah SWT seseorang itu perlu terus memohon taubat dan tidak memerlukan bayaran.
“Taubat dalam Islam tidak seperti agama lain yang ada perantaraan kerana bagi mereka yang beragama Islam harus memohon secara terus kepada Allah SWT tanpa perlu perantaraan kerana Allah Maha Mendengar.
“Dalam memohon taubat tidak ada upah atau bayaran yang dikenakan kerana kesalahan seseorang itu hanya dia sahaja yang mengetahuinya dan individu yang mengambil kesempatan dengan mengenakan upah adalah dianggap jahil.
“Setakat ini, pihak kami masih belum menerima sebarang maklumat mengenai individu yang terbabit dalam menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas penyebaran iklan di laman media sosial mengenai pakej sesiapa yang ingin bertaubat dikenakan bayaran RM20.
Terdahulu beliau menghadiri Program Penerangan Kesedaran Zakat Pertanian Dan Zakat Penternakan Serta Muamalat Dalam Pertanian NegeriKelantan yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Dewan Masjid Muhammadi Bangunan Hilir, di sini , hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Agama Islam negeri diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata siasatan itu perlu bagi mengesan mereka yang terbabit dengan pakej berkenaan untuk diambil tindakan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Shukri berkata, mengikut fatwa Kelantan bagi individu yang membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 baru-baru ini adalah tidak diwajibkan lagi untuk membayar zakat kerana masih belum cukup nisab, namun sekiranya pencarum mahu membayar zakat ia tidak menjadi masalah.
“Nisab sebenar di Kelantan adalah RM20,000 ke atas dan jika RM10,000 ia bermaksud seseorang individu itu bebas mengurus dan masih belum mencapai nisab serta mencapai hak minimum untuk wajib membayar zakat.
“Pencarum yang berada dalam KWSP tidak sempurna dan ia bermaksud seseorang itu bebas untuk mengurus wang yang dikeluarkan oleh mereka,” katanya.
BHOnline