Drama sentuh hati semarak Syawal

KUALA LUMPUR: Ramadan hampir melabuhkan tirai, Syawal bakal mendekati diraikan penuh kesyukuran.

Sudah menjadi tradisi, Rangkaian Televisyen Media Prima, TV3 dan TV9 menyajikan pelbagai program dan drama variasi bagi menyemarakkan sambutan Syawal, tahun ini.

Bagi memeriahkan Aidilfitri kali ini, pelbagai pengisian dan program menarik disajikan buat penonton sepanjang musim Aidilfitri ini.



Bertemakan Seikhlas Hati, pelbagai susunan program menarik dan barisan selebriti popular tanah air bakal menemani penonton sepanjang dua minggu.

Bakal menggandakan kemeriahan Syawal dengan program hiburan popular di TV3 seperti Sampaikan Raya, Melodi Raya 2022, I Can See Your Voice Malaysia Musim Kelima, Master In The House Malaysia Raya, Tonton Soundstage: Shila Amzah & Friends, JKK Raya dan Al Kisah Pak Kodi 5G.

Sambil berkumpul dengan sanak saudara, jangan lepaskan peluang menonton program Sampaikan Raya yang dihoskan Janna Nick dan Andi Bernadee pada 2 Mei ini, jam 11 malam, di TV3.

Menariknya, saksikan perkongsian persiapan hari raya pelawak popular, Shuib Sepahtu bersama anak-anaknya serta pelakon Fizo Omar dan isterinya, Fareeza Nazri Azrai.



Selain mendengar ucapan Hari Raya daripada perantauan, ia turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh Junainah M Amin, Ramlah Ram, Ella, Aina Abdul, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Nabila Razali, Khai Bahar, Shila Amzah, SOG, Marsha Milan, Wany Hasrita, Tajul Arif, Afieq Shazwan, Floor 88 dan Iman Troye.

Program inspirasi, Tanyalah Ustaz Raya pula mengupas topik keagamaan menarik untuk tatapan seisi keluarga di TV3 dan TV9.

Istimewanya, program bersiaran pada Syawal pertama, jam 6.30 pagi pada 3 Mei ini menampilkan Da’i Aiman, Ustaz Jafri Abu Bakar dan Ustaz Nik Kamaruddin Yunoh membincangkan topik Silaturahim Terputus.

Program bual bicara popular TV3, Malaysia Hari Ini (MHI) akan bersiaran selama dua jam dari jam 8 pagi pada Syawal pertama dengan membincangkan topik sambutan Aidilfitri dan lintas langsung Takbir Raya, solat dan khutbah raya dari Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail.



Rancangan 999 Raya yang bersiaran pada Selasa, 3 Mei ini, jam 9 malam menampilkan anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang yang terpaksa bertugas ketika banjir walaupun rumah ditenggelami air. Juga kisah anggota bomba di Melaka terkorban ketika menyelamatkan mangsa banjir dan anggota Polis Marin yang bertugas ketika Syawal.

Meriahkan Aidilfitri dengan mini siri raya iaitu drama Puteri Reunion, Wan Senja dan Misi Anak Bulan pada minggu pertama Syawal.

Istimewa peminat sitkom popular Puteri, mini siri Puteri Reunion menemui penonton TV3 dari 3 hingga 6 Mei ini, jam 10.30 pagi untuk siaran empat episod.

Sudah pasti ramai merindui telatah lucu Puteri dan rakan-rakannya, Kamala, Nadia, Anita dan Roslan serta ingin mengetahui kisah mereka. Puteri Reunion masih mengekalkan barisan pelakon asal, Nora Danish, Beego, Kenchana Devi, Intan Ladyana dan Siti Fazurina.



Selepas drama Puteri Reunion, penonton TV3 disajikan sebuah antologi raya, Wan Senja lakonan hebat Fauziah Datuk Ahmad Daud, Harun Hashim, Ali Reza Kavoossi, Nabila Razali, Wan Sharmila, Syazuwan Hassan, Fify Azmi, Datin Fadilah Mansor, Isyariana dan Aniq Suhair antara 3 hingga 6 Mei ini, jam 11.30 pagi sebanyak empat episod.

Drama Misi Anak Bulan lakonan Datin Paduka Eina Azman, Aiman Badrul, Idris, Nur Dania Miazara, Ali Aiman, Haziq Cilik, Nina Fazurina, Ezad Lazim, Syed Ali dan Natasha Elyzza pula menemui penonton pada 4 hingga 8 Mei ini, jam 6 petang sebanyak lima episod.

Kemeriahan Syawal diserikan dengan susunan telefilem menarik yang menampilkan pelakon popular.

TV3 turut menyiarkan telefilem Sempurna Mencintaimu lakonan Redza Rosli, Intan Najuwa; Sakanak (Farid Kamil, Tiz Zaqyah); Ayahanda – Ibrah Ramadan (Jalil Hamid, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Noorkhiriah, Shahz Jaszle, Hairi Safwan, Rita Nadira, Tasha Shilla); Artis Pujaanku Mai Raya (Fikry Ibrahim, Emma Maembong, Sheila Mambo, Hairi, Faezah Elai, Datuk Hattan) dan Hantu Karaoke (Hazama, Nabila Razali).



Turut disiarkan, telefilem Misteri Pakcik Lumpur (Kazar, Zul Huzaimy); Misteri Lain Macam (Sissy Imann, Nadzmi Adhwa, Didie Alias, Azhan Rani); Villa Untuk Bella (Keith Foo, Yuna Rahim, Farhan Asri) dan Bini-Bini Lockdown (Datuk Afdlin Shauki, Nasha Aziz, Eina Azman, Sangeeta).

TV9 pula menyajikan drama Jangan Malu Menangis (Datuk Rosyam Nor, Fauziah Latiff, Ozlynn Waty, Aprena Manrose, Harissa Adlynn); Cikgu Nerd (Zoey Rahman, Puteri Sarah Liyana) dan Hari-Hari, Hari Raya (Muntazar Ghufran, Zila Bakarin, Zalif Sidek, Lan Siro).

Menerusi slot Samarinda menyusul drama Kerana Aku Isteri Bidaan (Hisyam Hamid, Scha Elinnea); Akasia: Bisik Bisik Gelora (Redza Rosli dan Raysha Rizrose); Lestary: Melur Untuk Firdaus (Meerqeen, Anna Jobling); Diandra: Ada Apa Dengan Saka (Syazwan Zulkifly, Shiha Zikir) dan Air Mata Allisya (Keith Foo, Sophia Albarakbah).

Khusus buat penonton cilik, TV9 akan menyiarkan siri animasi istimewa, Mina Mila: Kata Raya pada Syawal pertama, jam 6 petang.



Turut disiarkan, Peningnya Raya OhBulan! iaitu program berkonsepkan sitkom dan bual bicara menampilkan artis undangan, Yassin Senario dan Aya Amiruddin.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button