Umat Islam dilarang aib pasangan di media sosial
Alor Setar: Umat Islam dilarang sama sekali mengaibkan pasangannya di khalayak umum atau mendedahkan aib pasangan masing-masing di media sosial demi meraih tontonan orang ramai.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, aib seorang isteri atau suami harus disimpan bagi mengelak berlaku sesuatu yang lebih mudarat kepada rumah tangga.
“Kini menjadi trend buka aib pasangan, lelaki buka aib isteri dan begitu sebaliknya. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam rumah tangga terutama pada Ramadan ini. Apa yang mereka harapkan dengan membuka aib pasangan, Ramadan mendidik supaya kita beramal ibadat.
“Mereka di luar yang terbabit tolong hentikan dan jaga maruah pasangan kita, jangan mendedahkan kelemahan isteri atau suami kita,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang lelaki yang merakam perbuatan isterinya makan secara terbuka di tempat awam ketika umat Islam berpuasa, sekali gus mengundang kecaman orang ramai.
Mengulas lanjut, Fadzil berkata, perbuatan tidak bermoral seperti itu boleh menimbulkan bibit keruntuhan rumah tangga apatah lagi apabila pasangan masing-masing menjadi trauma selepas diri tular dan menjadi kecaman orang ramai.
Menurutnya, sebagai umat Islam kita perlu muhasabah diri dan berfikir mengenai kesan jangka panjang terhadap kehidupan.
“Kesannya kita sendiri sedia maklum, ia akan menyebabkan pasangan saling tidak mempercayai antara satu sama lain dan tidak lagi hormat menghormati antara satu sama lain.
“Mereka juga akan saling salah menyalahkan. Ini bercanggah dengan adab rumah tangga dalam Islam yang mewajibkan pasangan menghormati suami atau isteri masing-masing,” katanya.
METRO