Misi bantu Palestin patut contohi solidariti Barat pertahan Ukraine

Palestin tidak pernah aman daripada kezaliman rejim Israel lebih-lebih lagi apabila tiba Ramadan. Sebenarnya, Ramadan di Palestin datang dengan cabaran kerana penganut tiga agama utama di bumi suci ini menyambut perayaan masing-masing.

Orang Yahudi menyambut Passover atau Pesach dalam bahasa Hebrew dan penganut Kristian menyambut Lent ketika umat Islam menyambut Ramadan. Ketiga-tiga agama ini mempunyai tuntutan bertindih ke atas Baitulmaqdis, terutama Haram al-Sharif atau Temple Mount (kawasan al-Aqsa), manakala penganutnya sering mengunjungi lokasi itu pada musim perayaan.

Konflik Israel-Palestin berlanjutan menjadikan tuntutan bertindih itu lebih parah. Pada sengketa terbaru, 152 rakyat Palestin dicederakan polis Israel dalam kawasan al-Aqsa dan di Tebing Barat.



Istilah Temple Mount digunakan orang Yahudi dan Kristian kerana monumen suci bersejarah dibina di atas Mount Moriah. Kitab suci orang Yahudi, Taurat mencatatkan kewujudan dua rumah ibadat Yahudi di atas bukit berkenaan pada masa berlainan.

Rumah ibadat pertama dikatakan selesai dibina pada 957 Sebelum Masihi (SM) ketika pemerintahan Nabi Sulaiman, manakala yang kedua dikatakan disiapkan 516 SM semasa kekuasaan pemerintah Rom, Herod dan dipercayai dibinasakan pada tahun ke-70.

Orang Kristian Palestin percaya naratif sejarah Taurat. Tambahan pula, perasaan keterikatan mereka dengan Haram al-Sharif dikaitkan kisah kehidupan Nabi Isa di lokasi itu.

Penganut Kristian tidak terbabit dalam tuntutan bertindih ke atas Haram al-Sharif kerana pembabitan Pope di Vatican dalam menyelesaikan masalah mereka. Lagipun jumlah penduduk Kristian di Baitulmaqdis dan Palestin semakin berkurangan akibat dasar Israel yang tidak adil.



Umat Islam khususnya Palestin pula pastia memiliki perasan keterikatan dengan Haram al-Sharif berdasarkan peristiwa Israk Mikraj. Hubungan ini lebih akrab apabila pembukaan Baitulmaqdis oleh Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 635, diikuti khilafah Islam berlainan.

Setiap khilafah meninggalkan monumen sejarah kerana Baitulmaqdis menjadi tempat suci ketiga dalam tradisi Islam selepas Makkah dan Madinah.

Tuntutan bertindih ke atas Haram al-Sharif menjadi semakin hangat pada musim perayaan agama. Gejala tuntutan bertindih boleh dijejak secara ketara mulai 1929 apabila kekacauan meletus akibat isu pemilikan Dinding Barat (Western Wall). Kekacauan tersebar ke bandar lain seperti Hebron dan Safad.

Sejak itu Haram al-Sharif menjadi antara isu utama dalam konflik Israel-Palestin. Isu yang menggagalkan proses keamanan dan dilayan sebagai isu terakhir untuk dibincangkan di meja diplomasi. Boleh dikatakan Haram al-Sharif sentiasa menjadi sasaran Israel, kumpulan ekstremis dan peneroka Yahudi sejak 1967.



Pada 2019, istilah Temple Mount digantikan dengan Haram al-Sharif oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ini kejayaan Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tamparan hebat kepada Israel.

Israel mula mempergiatkan semua usaha menuntut hak ke atas lokasi itu secara agresif. Pada Ramadan kali ini, keganasan meletus apabila kumpulan Yahudi ekstremis mengganggu penduduk Palestin berbuka puasa, provokasi perarakan orang Yahudi ke Haram al-Sharif dan pengusiran orang Palestin dari kediaman mereka di Sheikh al-Jarrah.

Kekacauan ini membara sehingga mencetuskan berbalas serangan selama 11 hari antara Hamas dengan Israel.

Dalam sengketa kali ini, ia masih mencerminkan isu lama seperti konfrontasi antara pelawat Yahudi dengan orang Palestin di Haram al-Sharif, provokasi perarakan kumpulan peneroka haram Yahudi dan isu penempatan orang Palestin.



Pasukan Tentera Israel (IDF) mencerobohi kawasan al-Aqsa beberapa kali Ramadan ini, menangkap beratus-ratus orang Palestin dan mencederakan ramai orang awam.

Israel mempertahankan tindakan mereka kononnya orang Palestin cuba menghalang lawatan penganut Yahudi merayakan Passover, sekali gus menekankan komitmen mereka dalam melindungi semua pengikut agama melawat lokasi suci tersebut.

Bagaimanapun, Mesir dan Jordan mengkritik tindakan Israel tidak bertanggungjawab di kawasan al-Aqsa. Raja Jordan, Raja Abdullah II Al Hussein, berkata tindakan Israel mengancam proses keamanan di rantau Asia Barat dan melanggar status quo masjid suci Islam di Baitulmaqdis.

Hamas kemudian melancarkan serangan roket ke selatan Israel dengan Briged Al-Qassam menyatakan ia untuk melindungi kawasan al-Aqsa. Israel mengeluarkan kenyataan dapat menangkis serangan itu dengan pemintas Iron Dome dan tentera udaranya mula melakukan serangan ke atas Gaza dengan menyasarkan lokasi pembuatan senjata Hamas, 18 April lalu.



Kekacauan juga meletus di Tebing Barat pada 19 April apabila ribuan peneroka Yahudi melakukan perarakan provokasi ke penempatan di Homesh, dekat Nablus. Lebuh Raya Nablus-Jenin ditutup kepada penduduk Palestin semata-mata untuk melancarkan perarakan itu.

Perarakan melalui penempatan penduduk Palestin di Burqa yang memprotesnya, tetapi IDF menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata ke atas mereka.

Orang Palestin melihat perarakan ini sebagai berbahaya kerana ia sebahagian rancangan Israel untuk menguatkan petempatan haram Yahudi di Tebing Barat. Di Homesh sahaja penempatan Yahudi mengancam kehidupan 35,000 penduduk Palestin semata-mata untuk melindungi 30 peneroka Yahudi.

Homesh disahkan sebagai tanah milik persendirian berasal dari Burqa oleh Mahkamah Israel, yakni tanah larangan bagi peneroka Yahudi.



Amat menghairankan apabila IDF memberikan perlindungan kepada kumpulan peneroka menuju ke Homesh.

Anggota Knesset radikal turut mengambil bahagian dalam provokasi itu, sekali gus menunjukkan kerjasama sistematik antara aktor negara dengan aktor bukan negara dalam mencapai kepentingan nasional Israel.

Menyedari penindasan berdekad lamanya, Malaysia perlu berdiri kuat di sisi Palestin pada semua forum dan institusi antarabangsa. Suara Malaysia mengkritik polisi zalim Israel dapat didengar di PBB. Kerajaan dan masyarakat Malaysia sudah lama memberikan sokongan padu kepada Palestin.

Sememangnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) boleh berperanan lebih berkesan seperti negara Barat menyokong dan membantu Ukraine dalam perang menentang Russia.

Solidariti OIC di belakang Palestin masih kurang padu, malah negara itu tidak dianggap sebagai satu kepentingan negara. Negara di Asia Barat memberikan keutamaan kepada kepentingan nasional mereka.

Palestin dipaksa untuk menerima ‘keamanan’ ditentukan Israel dan negara Barat dengan OIC mempunyai limitasi dari segi kuasa untuk menekan Israel. Israel sentiasa memiliki kelebihan kerana polisi AS menyokongnya di PBB dengan kuasa veto.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button