Filem Mat Kilau, umum 2007 tayang 2022

 

Bukan sedikit cabaran dihadapi dalam merealisasikan projek pembikinan filem yang mengangkat kisah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau, sejak kali pertama diumumkan pada 2007.

Berdepan pelbagai cabaran dan halangan sebaik penggambaran peringkat awal filem biografi epik itu bermula pada 2014 sebelum terhenti hingga bertukar pengarah, Mat Kilau di bawah garapan Syamsul Yusof, akhirnya menemui penonton di pawagam tempatan mulai 23 Jun depan.

Mengimbas kembali, penerbit filem Mat Kilau, Studio Kembara mendapatkan khidmat Syamsul yang menggarap semula jalan cerita asal dan memulakan penggambaran pada 2017.

Teruja berkongsi perkembangan terkini membabitkan filem garapannya, Syamsul menghebahkan butiran mengenai tayangan Mat Kilau di pawagam melalui hantaran Instagram (IG).

“Poster rasmi sudah dipamer dan dikongsi melalui media sosial sejak 13 Mei lalu.

“Insya-Allah, filem Mat Kilau akan menemui penonton di 90 pawagam di seluruh negara. Terima kasih kepada yang menyokong dan setia menanti kehadiran filem ini,” katanya.

 





Filem Mat Kilau menelan belanja RM8 juta dan menjalani penggambaran selama 100 hari di Perak dan lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Filem itu mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan Mat Kilau dan diubah mengikut kesesuaian, bukan sepenuhnya kisah benar membabitkan pahlawan itu.

Sementara itu, penerbit, Shahruddin Dali, berkata pihaknya berharap filem Mat Kilau dapat menghiburkan penonton.

“Filem arahan Syamsul ini akan membawa kita kembali ke zaman itu dengan merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” katanya.

Shahruddin berkata, apa yang dipaparkan bertujuan berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan Melayu dalam menyelamatkan tanah air kepada generasi sekarang.

Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Shahruddin berkata, filem Mat Kilau menyingkap kisah pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya, Tok Gajah dan sahabat lain dalam menentang penjajahan British.

Filem Mat Kilau dibikin dalam suasana 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadapan British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan British mengalami tekanan dan kerugian hingga berlakunya pertempuran sengit.

Turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan yang memegang watak Haji Muhammad, Datuk Rahim Razali (Imam Bottoqh),

Namron (Haji Sulong), Shaharuddin Thamby (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty (ibu Yassin)

Menampilkan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button