Tragedi hitam tumpang tidur rumah ibu saudara
Sungai Petani: Tindakan seorang remaja bawah umur menumpang tidur di rumah ibu saudaranya di sini semalam berakhir dengan tragedi hitam apabila dia dirogol suami wanita itu.
Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun yang sudah berhenti sekolah itu dijaga neneknya sejak setahun lalu namun dia terpaksa menumpang di rumah suspek kerana neneknya itu pulang ke kampung mereka di Pendang selama dua hari.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dikatakan tidur di dalam sebuah bilik bersama ibu saudara dan dua sepupunya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan susulan daripada itu suspek yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai buruh ditahan.
“Dalam laporan polis yang dibuat, mangsa mendakwa suspek masuk ke bilik tidur sebelum meraba tubuh serta merogolnya dan dia cuba melawan namun tidak berdaya.
“Selain itu, mangsa juga mendakwa dia tidak berani menjerit kerana ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati ketika kejadian mangsa tidur dalam sebuah bilik bersama ibu saudaranya serta dan dua sepupu berusia lapan dan tujuh tahun.
“Mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di hospital dan hasilnya mendapati ada kesan tusukan benda tumpul selain kesan koyak baru pada kemaluannya.
“Anggota forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, suspek ditahan jam 12.30 tengah malam tadi dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
METRO