Harap jasad ibu ditemukan
Chukai: “Kami adik beradik sememangnya berharap ibu ditemukan selamat namun sekiranya ditakdirkan sebaliknya, kami redha,” kata Muhammad Usaamah Ahmad Qarib yang setia menanti hasil pencarian ibunya yang dipercayai lemas sejak empat hari lalu.
Ibunya, Rokiah Abd Rahman, 59, dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai itu bersama suaminya, Ahmad Qarib Ab Kadir, 60, Jumaat lalu, kira-kira jam 4 pagi.
Bagaimanapun, mayat suaminya itu ditemukan pada kedudukan dua batu nautika dari Kuala Kemaman keesokan harinya, kira-kira jam 2.10 petang.
Jenazah Ahmad Qarib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Buntut Pulau, Temerloh, kelmarin.
Muhammad Usaamah,19, berkata ketika kejadian, dia bersama tiga adik beradiknya serta kedua ibu bapanya bercuti di kawasan pantai terbabit.
“Ayah sebelum ini kerap memberitahu untuk bercuti di negeri ini dan ada memaklumkan melalui kawasan Kemaman dan mendakwa pantai di situ cantik.
“Ayah cari rumah penginapan dan kami datang bercuti di sini. Namun tidak menyangka, percutian kami sekeluarga berakhir dengan tragedi yang sedih,” katanya.
Menurutnya, sehari sebelum kejadian itu, mereka sekeluarga mandi di pantai itu termasuk beberapa pengunjung lain.
“Ayah dan ibu akan mandi sebelum subuh termasuk ketika bercuti. Saya tidak pelik bila mereka memaklumkan nak turun mandi pantai awal pagi,” katanya.
Menurutnya, sejak sebulan lalu, arwah ayahnya itu sering bercakap mengenai soal kematian dan dia tidak menyangka itu adalah perubahan ayahnya akan pergi buat selama-lamanya.
“Sepanjang Ramadan lalu, bila bercakap, ayah sentiasa akan menyebut bila ayah tak ada nanti atau kalau ayah meninggal. Perkataan itu sentiasa bermain dibibirnya.
“Kami sentiasa memanjat doa supaya Allah segera menemukan ibu dan saya berterima kasih kepada semua yang membantu,” katanya.
METRO