Pemandu, kelindan lori maut kemalangan
Georgetown: Pemandu dan kelindan lori membawa muatan serai maut selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 8. 6 Jambatan Pulau Pinang dari arah Prai menghala ke Gelugor, di sini, hari ini.
Mangsa, Mohd Fazrol Maarof, 39, dan Muhammad Amirrudin Azizan, 19, yang berasal dari Baling, Kedah itu, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, akibat parah.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.17 pagi.
Katanya, operasi berkenaan turut dibantu anggota dari BBP Perai.
“Ketika tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu lori tiga tan melanggar sebuah treler yang sedang berhenti kerana mengalami kerosakan.
“Didapati dua mangsa berkenaan tersepit di bahagian tempat duduk dan parah sebelum dikeluarkan oleh pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fairol Mahazi berkata anggota mengambil masa selama 30 minit bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Kedua-duanya kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.
“Pemandu trailer berusia 54 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Operasi tamat pada jam 6.16 pagi,” katanya lagi.
Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.
METRO