Dicekup selepas sebulan aktif seludup diesel bersubsidi

Johor Bahru: Dipercayai baru sebulan aktif dalam kegiatan menyeludup diesel bersubsidi, lima lelaki termasuk tiga warga asing akhirnya ditahan sebaik dikesan melakukan kegiatan itu di Kawasan Perindustrian Kota Putri, Masai di sini, kelmarin.

Pada kejadian 11.45 malam itu, turut dirampas, 45,500 liter minyak diesel subsidi yang dianggarkan bernilai RM111,475.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, semua suspek berusia antara 28 hingga 53 tahun itu, gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.



“Ketika serbuan dibuat, semua suspek ini dilihat sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel dari tangki berkapasiti 1,000 liter ke dalam tangki berkapasiti 20,000 liter.

“Hasil pemeriksaan, semua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Menurut Dimin, dalam Op Kontraban itu, pihaknya turut membuat rampasan ke atas tangki berkapasiti 10,000 liter, tong putih kapasiti 1,000 liter, dua mesin pam minyak, mesin pam venderpoot, dua lori dan satu treler yang semuanya dianggarkan bernilai RM472,575, termasuk minyak diesel terbabit.

Katanya, semua barang rampasan berserta suspek kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Johor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.



“Dengan tangkapan dan rampasan ini, kita berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket

penyeludupan minyak (diesel) bersubsidi di sekitar daerah ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Dimin menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin di laluan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading