Kerajaan UK lulus Boehly ambil alih Chelsea

LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) memberi lampu hijau kepada Todd Boehly bagi urusan pengambilalihan Chelsea daripada oligarki Russia yang dikenakan sekatan, Roman Abramovich.

Setiausaha Digital, Budaya, Media dan Sukan Britain UK, Nadine Dorries berkata pihaknya sudah mengeluarkan lesen untuk meluluskan cadangan itu semalam sejurus mendapat kebenaran Liga Perdana (PL).

“Kami berpuas hati apabila hasil jualan itu tidak akan memberi manfaat kepada Roman Abramovich ataupun individu lain yang dikenakan sekatan,” ciap Dorries menerusi akaun Twitternya.



“Susulan sekatan yang dikenakan kepada individu yang terkait rapat dengan (Vladimir) Putin serta pencerobohan ke atas Ukraine, masa depan jangka masa panjang pasukan itu hanya boleh dijamin di bawah pemilik baharu.”

Konsortium yang diketuai Boehly yang juga pemilik bersama pasukan besbol LA Dodgers, bersetuju untuk mendapatkan pasukan itu dari Abramovich pada nilai RM23 billion.

PL menjelaskan kebenaran untuk rundingan itu bergantung kepada lesen yang akan diberikan oleh kerajaan.

Pegawai mahukan semua perkara itu diselesaikan semalam supaya Chelsea dapat memenuhi tarikh akhir pendaftaran untuk pertandingan musim depan.



Abramovich menjual pasukan itu sebelum dia dikenakan sekatan oleh kerajaan susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Proses melengkapkan pengambilalihan itu mengambil masa yang panjang susulan pihak kerajaan bimbang penjualan itu akan memanfaatkan Abramovich.

Jumlah keseluruhan pengambilalihan pasukan itu memecah rekod penjualan pasukan sukan sebelum ini – RM13.2 billion untuk francais besbol New York Mets pada 2020.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button