Pertubuhan Peladang Perak ceburi ternakan ayam skala besar

BAGAN SERAI: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak akan melaksanakan projek ternakan ayam berskala besar di Kampung Tengah, dekat Beruas, di sini sebagai sebahagian usaha menjamin kelangsungan bekalan bahan mentah itu di pasaran.

Pengerusinya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, tindakan itu bagi menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mahukan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menguasai industri penternakan ayam bagi menangani isu harga dan kartel ayam.

Beliau berkata, selain memulakan projek ternakan ayam berskala besar itu, pihaknya sedang berkalobrasi dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) untuk menjadi pembekal lembu bagi pasaran seluruh negara.



“Kita ada tanah di Kampung Tengah di Beruas dengan keluasan 200 ke 300 ekar (80.9 hingga 121 hektar), jadi segala projek ternakan ayam termasuk lembu kita akan buat di sana.

“Insya Allah dengan adanya projek ternakan ini, kita dapat menstabilkan harga ayam selain mengelakkan ugutan berterusan kartel ayam pada kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Aidilfitri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan, NAFAS diminta menguasai industri penternakan ayam supaya tidak dikawal kumpulan kartel yang dikatakan mengawal pasaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rantaian itu perlu dikuasai MAFAS supaya tiada pihak mengambil kesempatan sehingga mengugut kerajaan.



Dalam perkembangan lain, Sham menegaskan PPN Perak sedang berurusan dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi menyambung tempoh pajakan Kompleks BERNAS di Simpang Lima, dekat Parit Buntar yang akan berakhir 2024 sebelum PPN mengambil alih dan mewujudkan satu loji benih di situ.

“Kita baru bermesyuarat dua hari lalu tentang perkara ini dan dijangka membina loji benih di sini pada 2024.

“Dengan adanya loji benih di sini, kita yakin akan dapat mengatasi masalah benih padi di sini dan negeri-negeri utara yang lain,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button