Benzema harap menang Ballon d’Or
PARIS: Karim Benzema mengakui dia sudah melakukan apa yang termampu dengan Real Madrid musim ini bagi meletakkan dirinya sebagai calon pilihan memenangi Ballon d’Or.
Benzema tidak menjaringkan gol dalam kemenangan 1-0 ke atas Liverpool pada final di Stade de France, tetapi dia menamatkan kempen Liga Juara-Juara musim ini sebagai penjaring terbanyak dengan 15 gol – termasuk 10 dalam pusingan kalah mati.
Ketika ditanya adakah Ballon d’Or bermain dalam fikirannya musim ini di mana dia turut memenangi La Liga bersama Real Madrid, Benzema berkata: “Sudah tentu. Sekarang saya akan menyertai pasukan kebangsaan tetapi saya rasa tidak ada apa lagi yang saya boleh lakukan untuk kelab.
“Kita akan lihat apa yang berlaku, tetapi apapun saya tetap berbangga dengan apa yang sudah saya lakukan.”
Benzema, 34, akan menyertai skuad Perancis untuk siri perlawanan Liga Negara-Negara UEFA pada Jun selepas menamatkan kempen dengan 44 gol untuk Real.
Dia meledak hatrik ketika menentang Paris Saint-Germain dan Chelsea di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan meledak tiga kali sepanjang aksi separuh akhir menentang Manchester City.
AGENSI