AS arahkan dua pesawat Roman Abramovich dirampas
WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mengarahkan rampasan dua pesawat yang dimiliki oleh ahli perniagaan Russia, Roman Abramovich yang melanggar perintah sekatan negara itu ke atas Russia selepas pencerobohannya di Ukraine.
Jabatan itu dalam pemfailan mahkamah menyatakan kedua-dua pesawat, Boeing 787-8 Dreamliner dan jet eksekutif Gulfstream G650ER, diterbangkan ke wilayah Russia awal tahun ini, dan ia melanggar kawalan eksport Amerika Syarikat (AS) yang ditetapkan untuk pesawat buatan AS, pada 2 Mac lalu.
Langkah jabatan itu menyasarkan Abramovich yang juga salah seorang jutawan Russia terkaya, sekali gus memaksanya untuk menjual Kelab Bola Sepak Chelsea, ekoran pencerobohan Moscow pada 24 Februari ke atas Ukraine.
Ia bertujuan memberi tekanan kepada orang yang rapat dengan Russia “untuk menjauhkan diri mereka dari Kremlin kerana terus meningkatkan perang,” kata pengarah pasukan petugas KleptoCapture Jabatan Kehakiman, Andrew Adams.
Kedua-dua pesawat yang bernilai AS$400 juta (RM1.75 bilion), dipercayai berada di luar jangkauan pegawai AS.
Menurut laporan media, Boeing berkata, pesawat berkenaan mungkin di Dubai.
Perintah rampasan itu menggariskan bagaimana Abramovich mengawal kedua-dua pesawat berkenaan melalui satu siri syarikat tersedia (shell company) yang berdaftar di Cyprus.
Usahawan 55 tahun itu, membina kekayaan yang dianggarkan oleh Bloomberg bernilai AS$12.5 bilion (RM54.9 bilion) merangkumi minyak, keluli, aluminium dan industri lain.
Beliau mengekalkan hubungan rapat dengan pegawai tertinggi Russia, termasuk Presiden Vladimir Putin.
AFP