Hafizh harap jentera lebih laju di Misano
KUALA LUMPUR: Pelumba negara di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah bakal menerima peralatan tambahan baharu di pusingan keempat yang dijadual berlangsung di Litar Misano, Itali, hujung minggu ini.
Justeru, pelumba pasukan Mie Racing Honda berkenaan berharap peralatan baharu yang bakal diterima nanti dapat membantunya meraih catatan masa yang lebih baik berbanding tiga perlumbaan sebelum ini.
“Sekarang ini saya akan ke Misano,” kata pelumba berusia 28 tahun itu.
“Pasukan memaklumkan, ada peralatan tambahan baharu nanti dan saya harap ia dapat memberi peningkatan yang sangat besar di pusingan keempat ini.
“Saya harap dapat memberikan saingan yang lebih baik berbanding tiga perlumbaan sebelum ini. Harap jentera semakin baik nanti.”
Pada dua perlumbaan di pusingan ketiga di Estoril bulan lalu, Hafizh menamatkan Perlumbaan 1 dan 2 masing-masing di tempat ke-19 dan masih belum menemui penamat dalam kelompok pungutan mata kelas WorldSBK setakat ini.
Mengulas mengenai persiapannya, Hafizh berkata: “Persiapan untuk pusingan keempat, fizikal semuanya OK. Saya sudah menjalani satu latihan yang agak keras di Malaysia sebelum berlepas.”
Apapun, musim 2022 masih lagi panjang dengan Hafizh masih mempunyai ruang untuk menyesuaikan diri dalam ‘dunia’ baharunya itu selepas lapan tahun menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia secara sepenuh masa dari 2014 hingga 2021.
BHOnline