Ultras Malaya tawan Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Umpama pesta! Itu yang dapat disimpulkan mengenai suasana di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia berdepan Turkmenistan, malam ini.

Ketika ada yang menjangkakan kehadiran rendah susulan perlawanan pada hari bekerja namun tanggapan meleset selepas penyokong Malaysia berkobar-kobar untuk memberikan sokongan.

Sekitar jam 8 malam, himpunan Ultras Malaya menghangatkan luar pekarangan stadium pelbagai laungan semangat sebagai tanda sokongan kepada pasukan negara.

Kelompok penyokong lain juga kelihatan masih beratur untuk masuk ke stadium dan walaupun dengan kehadiran dijangka sekitar 40,000, keadaan tetap terkawal.

Suasana di dalam stadium masih kurang rancak mungkin disebabkan penyokong membuat keputusan untuk menunggu di luar dan masuk ke stadium sedikit lambat.

Namun dengan jumlah kehadiran penyokong di luar, Stadium Nasional Bukit Jalil hanya menunggu masa untuk bertukar menjadi ‘lautan kuning hitam.’

Sepak mula akan berlangsung pada 9 malam sekali gus menandakan pemburuan tujuh mata yang disasarkan pengendali skuad negara, Kim Pan Gon bermula secara rasmi.

Sebagai rekod, skuad negara akan mengharungi tiga perlawanan bagi mencari tiket ke Piala Asia tahun depan.

Selepas berdepan Turkmenistan malam ini, mereka akan menentang Bahrain pada Sabtu sebelum menutup kelayakan bertemu Bangladesh, Selasa depan.

BHOnline

Leave a Reply