Skuad Harimau Malaya bakal terima ganjaran RM880,000
KUALA LUMPUR: Bukan setakat kerana prestij semata-mata namun tiket ke Piala Asia 2023 menjadi ‘dambaan’ pasukan di benua ini memandangkan ia memberi peluang kepada mereka mengisi kantung masing-masing.
Ini kerana semua 24 pasukan bakal menerima sebanyak AS$200,000 (RM880,000) hanya dengan mengesahkan penyertaan ke temasya yang sepatutnya berlangsung di China pada tahun depan.
Situasi ini menyaksikan skuad Harimau Malaya dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh tersenyum lebar kerana RM880,000 sudahpun berada dalam genggaman mereka.
Dengan imbuhan terbabit, sudah pasti ia membantu perancangan FAM dalam mengatur persiapan yang lebih mantap sebelum berentap dengan gergasi Asia yang lain pada temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu.
Hadiah kemenangan jika pasukan berjaya pergi lebih jauh juga sudah pasti menyemarakkan semua pasukan bertanding sekali gus menjanjikan saingan yang lebih sengit dalam pemburuan gelaran ‘raja bolasepak Asia’.
Namun mereka perlu mara sehingga ke peringkat separuh akhir untuk menikmati hadiah kemenangan kerana ganjaran AS$1 juta (RM4.4 juta) menanti.
Pasukan yang bergelar juara akan menerima imbuhan US$ 5 juta (RM22 juta) manakala pasukan yang berpuas hati dengan naib juara tidak pulang dengan tangan kosong kerana akan mendapat US$ 3 juta (RM13.2 juta)
Hadiah kemenangan ini sama seperti yang dimenangi oleh pasukan pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menyaksikan Qatar merangkul kejuaraan Asia pertama dengan menewaskan Jepun 3-1.
Semifinalis menjadi milik Iran dan UAE selepas masing masing tumbang di peringkat separuh akhir.
BHOnline