Bapa bangga dengan pencapaian arwah anak
Kuala Lumpur: “Sedih kerana anak yang sepatutnya mengambil sijil kecemerlangan ini sudah meninggal dunia Mac lalu akibat ketumbuhan otak namun saya bangga dengan pencapaian arwah,” kata Rodzlan Salleh, 64.
Rodzlan mewakili anaknya, Allahyarham Mohammad Fadzillah, 26, yang menerima pengiktirafan sebagai pelajar terbaik Majlis Graduasi dan Apresiasi Asnaf Latihan dan Kemahiran Industri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hari ini.
Menurutnya, dia gembira kerana arwah berjaya mendapat pengiktirafan dan ia sudah menjadi impian anaknya.
“Anak saya ini memang semangat untuk belajar, dia sangat suka belajar dan sudah menjadi impiannya untuk menjadi pelajar terbaik dan Alhamdulillah, hari ini arwah membuktikannya.
“Sedih memang sedih, anak saya sudah tiada, namun dia tinggalkan sijil pengiktirafan ini atas usaha dan semangatnya untuk terus belajar,” katanya.
Menceritakan keadaan anaknya itu, Rodzlan berkata, Allahyarham dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun penyakit dihidapinya diketahui agak lewat.
“Doktor yang merawat anak saya memaklumkan bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk merawat dan dia meninggal dunia tidak lama selepas itu.
“Dia sakit tidak lama iaitu kira-kira seminggu saja sebelum pergi buat selamanya Mac lalu,” katanya.
Dalam majlis itu, MAIWP menyampaikan sijil graduasi asnaf dan sagu hati kepada 109 pelatih yang menamatkan latihan industri di tujuh agensi pelbagai bidang.
Seramai tujuh pelatih menerima sagu hati pelajar terbaik yang disampaikan oleh Ahli MAIWP, Zainal Abidin Shaik Zakaria.
Zainal Abidin berkata, MAIWP memberi bantuan sebanyak RM3 juta untuk membantu latihan industri kepada pelatih.
Beliau berkata, bantuan berkenaan boleh digunakan untuk membiayai yuran pengajian serta elaun sara hidup mereka.
“Matlamat bantuan ini untuk membawa asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi pendedahan kepada ilmu pengetahuan serta pendidikan.
“Ini adalah julung kali majlis penghargaan serta apresiasi ini diadakan dan kita meletakkan harapan untuk tahun-tahun berikutnya, pelatih lebih berjaya dalam bidang yang diceburi kelak,” katanya.
METRO