Pahang Talent bakal lahir tenaga kerja mahir

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang memperkenalkan program latihan khas, Pahang Talent untuk graduan dalam kalangan anak negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata graduan yang terpilih akan menjalani latihan selama 12 bulan.

Katanya, ia bagi menimba ilmu dan pengalaman serta pendedahan industri secara langsung di bawah bimbingan barisan EXCO Pahang dan Menteri Besar.



“Sepanjang tempoh latihan, setiap graduan akan menerima insentif bulanan RM2,500.

“Menerusi program julung kali ini, seramai 12 calon daripada 400 graduan Sesi 2021/2022 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Permata Pintar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA terpilih untuk menjalani program,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pahang Talent di Bilik Kunjung Hormat, Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Katanya, seramai 12 calon yang terpilih itu melalui beberapa fasa saringan dan pemilihan sejak April lalu.



“Bagi melayakkan graduan itu terpilih, mereka perlu melepasi tiga peringkat saringan iaitu Ujian Profil Psikologi dan DNA Yayasan Pahang.

“Selain itu, Program Penilaian Simulasi (Mengenal pasti ‘Decision Making Skills, Event Management Skills, Critical Thinking Skills dan Interpersonal Skills’), serta proses temu duga,” katanya.

Wan Rosdy berkata, selepas tamat latihan industri, graduan berpeluang diserap ke agensi kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri berdasarkan prestasi sepanjang mengikuti program berkenaan.



“Saya berharap 12 calon yang terpilih ini memanfaatkan peluang dan ruang melalui program ini untuk mengembangkan bakat dan potensi diri masing-masing dan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada kerajaan negeri dan rakyat.

“Saya juga berharap program ini dapat diteruskan supaya lebih ramai lagi generasi pelapis yang berketrampilan dapat dilahirkan.

“Lebih ramai tenaga kerja mahir dapat dihasilkan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak Pahang,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button