Penari dihempap panel video
Hong Kong: Seorang penari dihempap panel video besar yang terjatuh di atas pentas ketika konsert kumpulan popular Hong Kong, Mirror pada Khamis, mengakibatkan yang lain terperangkap dan mendorong pihak berkuasa melakukan siasatan.
Sekurang-kurangnya dua penari cedera, dengan seorang dalam keadaan serius dan seorang lagi stabil, lapor penyiar tempatan RTHK.
Tiga penonton turut cedera, lapor media tempatan, dengan ramai peminat beremosi selepas adegan mengerikan itu.
“Saya terkejut dengan kejadian itu. Saya simpati kepada mereka yang cedera dan berharap mereka akan pulih segera,” kata Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee pada Jumaat.
Katanya, kerajaan akan menyiasat dan mengkaji semula prosedur keselamatan untuk melindungi penghibur, kakitangan dan orang ramai.
Setiausaha Kebudayaan bandar itu, Kevin Yeung, berkata pertunjukan itu akan digantung sehingga struktur pentas itu selamat.
Dalam satu kenyataan, biro riadah kerajaan sudah menghubungi penganjur konsert mengenai insiden pentas lain sejak kebelakangan ini.
Kumpulan popular itu ditubuhkan pada 2018 melalui rancangan realiti televisyen dan merancang satu siri 12 rancangan di Coliseum Hong Kong, bersebelahan pelabuhan Victoria di bandar itu.
Lebih 13,000 peminat Mirror menandatangani petisyen dalam talian meminta penganjur konsert menyelesaikan masalah dan memastikan keselamatan untuk semua penghibur, menurut laman web petisyen itu.
MakerVille, penganjur konsert yang dimiliki taikun Hong Kong Richard Li PCCW Media Group, berkata pihaknya sedang menyiasat secara menyeluruh punca kemalangan itu.
METRO