Salam bawa berita duka

Dungun: “Kami sekeluarga sepatutnya makan malam bersama, dia (arwah) minta kami tunggu dan bila agak lama dia tak sampai ke rumah, saya berasa tak sedap hati.

“Kemudian, terdengar orang memberi salam (di luar rumah), saya ingatkan dia yang memberikan salam itu, rupa-rupanya ia daripada rakannya yang datang memberitahu anak saya terbabit dalam kemalangan,” kata Salmi Abu Bakar, 46.

Salmi memberi reaksi itu selepas anak sulungnya, Muhammad Ruzie terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Batu Putih Pulau Serai, dekat sini, malam tadi.



Muhammad Ruzie maut selepas motosikal Modenas yang ditungganginya bertembung dengan motosikal Yamaha Y15 di lokasi kejadian kira-kira jam 11.40 malam.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu penunggang motosikal Yamaha Y15 Muhammad Airie Mohd Gaazali, 16.

Salmi berkata, sebaik menerima berita kemalangan itu, dia dan anak perempuannya, Khadijjah Rosemawi, 19, bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Ruzie masih bernyawa dan dia sempat membisikkan kalimah Allah ke telinga anaknya itu.



“Anak saya dikejarkan ambulans ke Hospital Dungun dan tidak lama selepas itu saya dimaklumkan dia sudah meninggal,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Salmi, sebelum kejadian, adik bongsu arwah, Khadijjah ada membeli ayam goreng untuk mereka makan malam dan dia ada menghubungi arwah untuk makan bersama.

“Dia (arwah) minta saya tunggu dan bila agak lama dia tak sampai, adiknya menghubunginya dan memberitahu dia masih dalam perjalanan.

“Saya rasa tak sedap hati sudah setengah jam dia tak sampai, sebelum saya terdengar orang memberi salam, rakannya datang membawa perkhabaran yang mengejutkan saya,” katanya.



Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua motosikal dari arah bertentangan bertembung sebelum kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan.

Berikutan keadaan jalan yang gelap, sebuah lagi motosikal dinaiki dua pemuda berusia 20-an gagal mengelak sebelum melanggar salah sebuah motosikal terbabit, namun kedua-dua mangsa hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, Muhammad Ruzie disahkan meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala seorang lagi mangsa Muhammad Airie yang parah di kepala dan patah kaki maut di tempat kejadian.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button