Pemandu maut digilis lori sendiri
PUTRAJAYA: Seorang pemandu lori warga Indonesia maut digilis selepas lori yang diparkir mengundur ketika menutup pagar menghala jalan keluar di tapak pembinaan Projek Jalan Sierra 1, Puchong dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan Laseman Tuju, 60, dari Kampung Jenjarom, Banting, parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Lori dipandu mangsa tidak mengalami kerosakan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Cyberjaya.
BHOnline