Diduga lagi selepas hilang anak 10 tahun lalu
JELI: Trauma kehilangan anak akibat komplikasi buah pinggang disebabkan Sindrom Nefrotik 10 tahun lalu masih lagi berbekas.
Kini, Suhada Hamzah, 39, sekali lagi berdepan kebimbangan terhadap anak kelimanya, Siti Aufa Mohd Rosdi, 10, yang turut dikesan menghidap penyakit sama seperti arwah Siti Hawa yang meninggal dunia pada usia lapan tahun.
Suhada yang menetap di Kampung Stong, Dabong, berkata, meskipun penyakit yang berlaku kepada kira-kira dua hingga 15 kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak setiap tahun itu terlalu sukar untuk dipulihkan, dia dan keluarga tetap mengharapkan keajaiban berlaku.
“Jika ada yang bertanya mengenai persediaan saya sekiranya Aufa mengikut jejak (arwah) Hawa, jawapan saya adalah sangat tidak bersedia.
“Doktor memberitahu penyakit yang Aufa deritai sekarang seakan tiada harapan untuk sembuh tapi kami tetap berikhtiar sama ada melalui perubatan di hospital dan juga rawatan alternatif.
“Keadaan Aufa tidak tentu, ada masanya stabil dan ada kala kembali lemah kerana antibodinya tidak kuat. Kini sudah lebih dua minggu Aufa tidak bersekolah kerana sering demam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Suhada berkata, Siti Aufa mula dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia lima tahun.
Dia berkata, tidurnya juga sering tidak lena kerana perlu mengawasi Siti Aufa lebih-lebih lagi jika pernafasannya laju sekali gus menimbulkan rasa cemas disebabkan arwah Siti Hawa turut berkeadaan sedemikian pada hari-hari terakhir sebelum dijemput Ilahi.
“Jika Aufa bernafas laju, saya segera mengejutkannya kerana bimbang akan berlaku seperti Hawa dan demi Allah, saya tidak sanggup untuk berdepan sekali lagi dengan pemergian anak,” kata ibu kepada sembilan cahaya mata itu.
Suhada berkata, ujiannya tidak terhenti di situ, anak bongsunya, Siti Fatimah, 10 bulan, turut diuji dengan sumbing di lelangit.
Siti Fatimah sepatutnya menjalani pembedahan pada pertengahan Julai lalu tapi disebabkan diserang demam dan bisul di belakang badan baru-baru ini, proses itu terpaksa ditunda.
“Fatimah juga belum mencapai berat badan yang diperlukan iaitu lima kilogram ke atas untuk membolehkannya menjalani pembedahan disebabkan tidak mampu makan dengan baik.
“Setiap kali disuap makanan yang pejal, ia akan keluar semula melalui hidung dan doktor turut mengesan benjolan di kepala.
“Saya perlu kuat demi keluarga kerana selain dua anak yang sakit, suami saya juga menderita penyakit saraf disebabkan kemalangan jalan raya serta terjatuh dari pokok menyebabkan dia tidak mampu membuat kerja berat,” katanya yang menyara hidup dengan menjual anak pokok durian.
BHOnline