Qobin hargai atlet cemerlang UiTM
Oleh – Rohana Man
SHAH ALAM – Kejayaan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih pingat dalam Sukan Komanwel Birmingham 2022 bukan sahaja mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pengurusan tertinggi universiti tersebut, malah turut mencuri tumpuan Penjelajah Grand Slam pertama negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Lebih dikenali sebagai Qobin, beliau baru-baru ini memberi imbuhan tambahan kepada pemenang Pingat Emas acara Angkat Berat 55 kilogram, Mohamad Aniq Kasdan dan Pingat Perak acara Boling Padang, Nurul Ain Nabilah Tarmizi.
Imbuhan yang diberikan itu adalah bagi menghargai kejayaan kedua-dua atlet tersebut yang merupakan mahasiswa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR).
Menurut Qobin, sebagai alumni FSSR, beliau merasa bangga dan berbesar hati atas kejayaan dua mahasiswa fakulti berkenaan dalam kejohanan sukan bertaraf dunia.
“Dengan rezeki yang ada, saya terpanggil untuk memberi imbuhan kewangan kepada kedua-dua atlet cemerlang ini,” katanya ketika dihubungi My TV Online di sini, hari ini.
Pada Julai lalu, UiTM memberikan penghargaan kepada Mohamad Aniq yang memenangi pingat emas pertama negara pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Penghargaan itu disampaikan Dekan FSSR UiTM Shah Alam, Prof. Mohd Anizu Mohd Nor mewakili Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd Janor di National Exhibiton Centre di Birmingham.
Mengulas lanjut, Qobin berkata, hadiah wang tunai bernilai RM3,000 diberikan kepada Mohamad Aniq, manakala Nurul Ain menerima RM2,000.
Menurutnya, penghargaan itu bertujuan menyuntik semangat mahasiswa terbabit untuk terus belajar dan pada masa yang sama kekal fokus dalam latihan agar mereka dapat mencapai kejayaan lebih gemilang di Sukan Olimpik dan kejohanan antarabangsa yang lain.
‘Sebagai atlet sukan rekreasi dan ahli perniagaan, selagi mampu, saya akan terus membantu atlet sukan yang berpotensi untuk mengharumkan nama Malaysia menerusi kutipan pingat,” katanya.
Justeru, katanya, beliau akan lebih kerap ‘turun padang’ untuk memberi sokongan dan semangat kepada atlet-atlet tempatan yang berpotensi.
“Saya harap lebih ramai individu dan tokoh korporat lain termasuk alumni yang berjaya menghargai atlet kelahiran UiTM.
“Tentunya saya akan terus menyokong atlet UiTM mewakili Malaysia di pentas kejohanan antarabangsa,” tambahnya.
Majlis penyerahan penghargaan itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah yang juga mentor Qobin ketika beliau menuntut di universiti berkenaan.
Ibrahim adalah Naib Canselor UiTM pada 2004 yang menjadi tunjang utama kejayaan Qobin dan seorang lagi mahasiswa UiTM, Ahmad Reduan Rozali menakluk Everest pada 2004, sekali gus muncul mahasiswa IPTA pertama menakluk puncak tertinggi dunia.
Sementara itu, kejayaan Qobin yang lain adalah berbasikal dan bermotosikal merentasi 22 buah negara, menerima gelaran Penjelajah Grand Slam (last degree) pertama Malaysia selepas menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi dunia di tujuh benua, antara tahun 2010 hingga 2014; berski (last degree) dari titik 89 ke titik 90 darjah di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017 dan 2018.
Tidak hanya berusaha melakar kejayaan diri sendiri, Qobin turut membantu individu lain mencipta kejayaan menerusi ekspedisi yang dianjurkan Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B).
Antaranya membawa tujuh pendaki termasuk lima anak-anak Felda ke puncak Everest pada 2013 menerusi projek KE7B Everest-Felda 2013, selain projek Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia yang menyaksikan perenang dari Sabah, Estino Taniyu berjaya menamatkan renangan solo merentasi Selat Inggeris dalam masa 13 jam 45 minit 45 saat pada September 2012, manakala enam perenang lain dalam kategori berganti-ganti berjaya menamatkan misi merentas Selat Inggeris dalam masa 14 jam 30 minit.
Kejayaan lain adalah membawa lapan penjelajah merentasi pulau Greenland (pulau terbesar di dunia) sejauh 580 kilometer.