Semangat KPT prihatin sepanjang JAKM Kedah

Demonstrasi solekan diadakan bagi menarik perhatian anak muda mengikuti kursus Sijil Kecantikan dan Spa yang ditawarkan di kolej komuniti.

 

Oleh Rohana Man



 

KUALA LUMPUR – Penyertaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Kedah baru-baru ini dimanfaatkan sepenuhnya pengunjung yang dahagakan maklumat terkini berkaitan program pengajian yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ini dapat dilihat daripada kunjungan orang ramai di reruai (booth) IPTA termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

KPT menerusi laporan di laman rasmi Facebooknya berkata, jerayawara (roadshow) yang menampilkan jabatan dan pelbagai agensi di bawah payung KPT turun padang bagi mempromosikan perkhidmatan, pemeriksaan kesihatan, produk, inovasi serta kepakaran mereka kepada masyarakat di negeri Hijau Kuning itu.



Malah semangat KPT Prihatin Keluarga Malaysia turut disebarkan manfaatnya di sekitar Alor Setar melalui program turun padang dan khidmat bakti yang dijayakan beberapa IPTA.

Antara IPTA yang mengadakan program khidmat bakti sempena JAKM Kedah ialah Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Politeknik Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kolej Komuniti Sungai Petani, Kolej Komuniti Jerai, Kolej Komuniti Baling dan Kolej Komuniti Padang Terap.

“Pengisian lain seperti demonstrasi TVET, persembahan kesenian UUM dan sesi perkongsian bual bicara turut memeriahkan atur cara program KPT di negeri Kedah ini,” ujar kenyataan tersebut.

Program JAKM peringkat Negeri Kedah itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan berlangsung selama tiga hari, bermula 2 September lalu.



Sempena program JAKM Kedah, sebanyak 100 reruai (booth) dibuka melibatkan 27 agensi kerajaan, 79 reruai jualan Industri Kecil Sederhana (IKS) dan satu reruai di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Selain itu, reruai usahawan desa di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, lori makanan (food truck), jualan Keluarga Malaysia, Citarasa Keluarga Malaysia dan bas perkhidmatan turut dibuka.

“Program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia pula mendapat sambutan hangat pengunjung yang masih mengintai peluang pekerjaan,” tambah kenyataan tersebut.

Memilih Stadium Darul Aman, Alor Setar sebagai lokasi penganjuran program, pemilihan itu tepat kerana ruang yang cukup luas bagi menampung limpahan pengunjung.



Kira-kira 100,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjuran dari pukul 9 pagi sehingga 9 malam setiap hari, sekali gus melakar sejarah jumlah pengunjung program JAKM tertinggi seluruh negara.

Sementara itu, UUM dalam Facebook rasminya merasa bangga kerana menjadi sebahagian pempamer di bawah payung KPT.

Antara pengisian aktiviti anjuran universiti itu ialah demonstrasi masakan oleh pelajar kursus Pengurusan Pelancongan, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Discover UUM, pameran Cyntok Bhatik dan persembahan kebudayaan.

Manakala program yang melibatkan komuniti luar adalah Games & Gamifications Development Training (Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma), Bengkel Kewartawanan dan Foto (Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin) serta Bengkel Pemasaran Digital dan Kandungan Kreatif (Kompleks Belia dan Sukan).



Selain itu, beberapa program jangkauan (outreach) bersama penduduk Kampung Seberang Pumpong, Alor Setar turut diadakan.

“Beberapa aktiviti menarik telah diadakan di kampung itu, antaranya Bengkel Literasi Digital Bersama Warga Emas dan program Trash Hero,” ujar kenyataan itu lagi.

Menerusi program UUM Berkongsi Rezeki, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail meluangkan masa menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada keluarga B40 di kampung berkenaan.

Turut diadakan program saringan kesihatan oleh Pusat Kesihatan Universiti yang diketuai Pengarahnya, Dr. Adi Azhar Abd Razak.



Dalam pada itu, Politeknik dan Kolej Komuniti POLYCC pula mengadakan sesi konsultasi berkaitan permohonan kemasukan ke institusi berkenaan.

“Pameran interaktif berfokuskan TVET juga diadakan bagi memeriahkan reruai KPT sempena program JAKM Kedah ini,” kata kenyataan tersebut.

Aktiviti lain yang turut diadakan bagi mewarnai perjalanan program sepanjang JAKM Kedah adalah seperti berikut:

1. Demonstrasi robotik dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

2. Demonstrasi pembuatan dan edaran minuman kopi dari Kolej Komuniti Sungai Petani.

3. Demonstrasi Fancy Cookies dari Kolej Komuniti Baling.

4. Lukisan inai, manicure dan pedicure dari Kolej Komuniti Sungai Petani.

5. Happy Hour pemberian pelbagai cenderahati seperti kek muffin, baju T dan lain-lain kepada pengunjung oleh Kolej Komuniti Baling.

Dalam pada itu, POLYCC turut mengambil bahagian pada slot Edutainment TVET @ POLYCC di Pentas Citarasa JAKM Kedah.

Pada slot tersebut, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah mempersembahkan nyanyian berkonsepkan busking.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button