Malaysia, Thailand berentap aksi Piala Raja Thailand
KUALA LUMPUR: ‘Jodoh’ dua seteru ketat di Asia Tenggara jelas kuat selepas skuad Harimau Malaya akan bertemu tuan rumah, Thailand pada perlawanan pertama saingan Piala Raja Thailand 2022 di Chiang Mai, minggu depan.
Penentuan bagi pertembungan antara Thailand yang menghuni ranking ke-111 dunia dengan Malaysia di ranking ke-148 dunia itu dimuktamadkan menerusi majlis undian yang berlangsung di Thailand, hari ini.
Satu lagi undian menyaksikan Trinidad dan Tobago yang berada pada ranking ke-101 dunia dijadual berdepan pasukan di ranking ke-109 dunia, Tajikistan.
Undian ini menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan Gon berpeluang berdepan Trinidad dan Tobago ataupun Tajikistan pada aksi kedua nanti.
Aksi pertama akan berlangsung pada 22 September manakala penentuan bagi tempat ketiga dan keempat serta final akan berlangsung pada 25 September.
Semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Chiang Mai.
Sebagai rekod, peluang beraksi menentang pasukan di ranking lebih tinggi sudah pasti memberi banyak manfaat kepada skuad negara khususnya persiapan bagi menghadapi saingan Piala AFF 2022 hujung tahun nanti.
Malah, ini juga kesempatan terbaik untuk Malaysia memungut mata bagi memperbaiki kedudukan ranking dalam Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
BHOnline