Dua beradik bekas PM Thailand melancong ke Pulau Pinang
GEORGETOWN – Ketika ramai rakyat Malaysia menjadikan selatan Thailand sebagai destinasi melancong, dua beradik yang juga bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan Yingluck Shinawatra, pula memilih untuk bercuti di bandar raya ini, sejak kelmarin.
Pasangan adik-beradik itu dilihat berkunjung ke Pasar Lebuh Cecil di sini dan menikmati hidangan tempatan seperti char kuetiau, cendol, ais kacang dan rojak pasembur.
Yingluck menerusi laman Facebook rasminya memuat naik 16 keping foto dalam album Penang2022 yang turut memaparkan beliau dan abangnya bersiar-siar di sekitar pusat bandar dengan menaiki beca.
Mereka turut meluangkan masa merakam gambar kenangan di beberapa lokasi lukisan mural popular di negeri ini antaranya di Lebuh Armenian dan Lebuh Cannon.
“Datang ke Pulau Pinang buat kali kedua. Setelah sekian lama datang mencari kenangan lama bersama abang,” tulis Yingluck dalam hantaran tersebut.
Hantaran itu mendapat 35,000 tanda suka dan dihujani ribuan komen selain dikongsi lebih 700 kali sejak dimuat naik kira-kira dua jam yang lalu.
Thaksin, 73, dan Yingluck, 55, tampak ceria dan tidak menolak apabila diajak bergambar oleh masyarakat setempat yang kelihatan teruja melihat kemunculan mereka di sekitar tempat tumpuan pelancong berkenaan.
Thaksin merupakan Perdana Menteri Thailand sejak 2001 dan digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006.
Manakala Yingluck adalah Perdana Menteri wanita pertama di Thailand dan berkhidmat antara 2011 dan 2014.