Wanita dan anak parah selepas kereta mereka bertembung dengan lori
KOTA MARUDU – Seorang wanita dan anaknya parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori 12 tan tanpa muatan di Jalan Kasagaan, Pitas, di sini, hari ini.
Dalam nahas jam 11 pagi itu, wanita, 42, dan anak perempuan berusia 11 tahun dilaporkan parah dan terpaksa dihantar ke Hospital Kota Marudu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 11.13 pagi.
“Terdapat tiga mangsa terbabit dengan dua daripada mangsa yang menaiki Toyota Avanza cedera parah selepas tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit sebelum diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan.
Jurucakap itu berkata, seorang lagi mangsa yang memandu lori tidak cedera.
© Berita Harian