Croatia, Belanda mara ke separuh akhir
LONDON: Croatia dan Belanda menempah tempat ke separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA manakala juara bertahan, Perancis terselamat daripada tercicir ke Liga B musim depan.
Les Bleus tewas 2-0 di Denmark untuk menamatkan kempen dengan hanya satu kemenangan daripada enam perlawanan peringkat kumpulan, tetapi kemenangan 3-1 Croatia di Austria menyelamatkan juara dunia itu daripada tercicir.
Didier Deschamps kini terpaksa mengharapkan beberapa tonggaknya kembali cergas menjelang kempen mempertahankan gelaran Piala Dunia yang bermula dengan aksi menentang Australia di Qatar pada 22 November.
“Ia adalah pasukan muda Perancis, kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi.
“Malam ini adalah gambaran kepada apa yang menanti kami dalam tempoh dua bulan lagi,” kata pengendali Perancis, Deschamps.
Perancis juga diundi bersama Denmark dalam saingan di Qatar dan pasukan yang mara ke separuh akhir Euro 2020 itu tampak lebih berbisa menjelang Piala Dunia nanti.
Kedua-dua gol Denmark hasil jaringan Kasper Dolberg dan Andreas Skov Olsen sebelum babak pertama berakhir.
Perancis turun tanpa Hugo Lloris, Jules Kounde, N’Golo Kante, Paul Pogba, Ousmane Dembele dan Karim Benzema.
Gandingan Antoine Griezmann, Olivier Giroud dan Kylian Mbappe gagal mencetus kebangkitan Perancis dalam aksi di Stadium Paken, Copenhagen itu.
Kemenangan Denmark memaksa Croatia mengutip tiga mata di Austria untuk menjuarai kumpulan.
Luka Modric membuka jaringan seawal minit keenam untuk naib juara Piala Dunia 2018 itu, tetapi Austria pantas menyamakan kedudukan menerusi Christoph Baumgartner tiga minit kemudian.
Dua gol dalam tempoh tiga minit di babak kedua menerusi Marko Livaja dan Dejan Lovren memastikan kemenangan buat Croatia.
Belanda pula mengesahkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan A4 dengan kemenangan 1-0 ke atas Belgium hasil tandukan Virgil van Dijk ketika permainan berbaki 17 minit.
Belanda hanya perlu mengelak kekalahan dengan jurang tiga gol selepas menang 4-1 di Brussels pada peringkat awal saingan kumpulan.
AFP