Batu berlian merah jambu yang susah dijumpai akan dilelong di Geneva
GENEVA, Switzerland – Batu permata gergasi yang sangat jarang ditemui, Fortune Pink, akan dilelong di Geneva pada November ini dan dijangka menerima bidaan sehingga AS$35 juta (RM161 juta).
Syarikat lelongan Christie’s hari ini berkata berlian seberat lebih 18 karat berwarna terang itu adalah berlian merah jambu berbentuk buah pir terbesar yang pernah ditawarkan untuk lelongan.
Berlian itu, yang buat pertama kalinya dilelong pada 8 November, dianggarkan bernilai antara AS$25 juta (RM115 juta) dan AS$35 juta.
Batu permata berbentuk titisan air berwarna merah jambu berkilauan, dipasang pada cincin dan diapit berlian putih besar di kedua-dua sisinya, memiliki berat 18.18 karat.
Christie’s memaklumkan, angka itu dianggap sebagai bertuah di Asia, di mana ia menandakan ‘kemakmuran yang pasti’ dan menjangkakan berlian itu akan ‘menarik minat pengumpul di seluruh dunia’.
“Dengan berat 18.18 karat… berat itu sebenarnya membawa tuah kepada pemilik baharu,” kata pakar barang kemas kanan Christie’s, Angela Berden, kepada AFP.
“Ia adalah batu yang cantik, sangat jarang untuk menemukan berlian merah jambu, berlian merah jambu terang, sebesar ini.
“Ketepuan warna batu ini… sangat sukar ditemui di alam semula jadi dan apabila anda menemukan kristal… dengan berat itu, dengan warna sepertinya dan kejelasan yang sangat baik, ini sangat jarang berlaku.
“Saya tidak tahu di mana untuk mencari permata yang lain seperti ini buat masa sekarang,” katanya.
Walaupun Fortune Pink adalah berlian berbentuk pir merah jambu terang yang terbesar untuk dilelong, berlian merah jambu berbentuk kusyen yang lebih besar pernah dilelong sebelum ini.
Pada 2018, Christie’s menjual Winston Pink Legacy seberat 18.96 karat, yang meraih lebih AS$50 juta (RM230 juta), harga per karat tertinggi yang pernah dibayar untuk batu seumpamanya.
Sementara itu, berlian gergasi Raj Pink, dengan berat penuh 37.3 karat, gagal dijual pada lelongan Sotheby setahun sebelumnya, di mana ia dianggarkan bernilai sehingga AS$30 juta (RM138 juta).