Senarai nama bakal kena gantung keahlian
Kalau tidak langgar Perlembagaan Parti, usah risau
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Senarai nama yang bakal dikenakan hukuman penggantungan dikatakan sudah ada dan menunggu masa sesuai untuk dimaklumkan.
Banyak pihak dikejutkan dengan penggantungan keahlian selama 6 tahun terhadap Dato Seri Tajuddin Rahman dan Datuk Yusof Ismail.
Desas-desus sudah berlegar, ada beberapa nama besar dalam Umno tidak akan dicalonkan pada PRU15.
Perlu diingatkan, dalam perkara menjatuhkan hukuman atas kesalahan melanggar Perlembagaan Parti ialah Lembaga Disiplin Umno dan MKT hanya bertindak sebagai pemaklum. Sebarang keputusan MKT adalah mengikut nasihat serta pandangan LDU.
Rata-rata ahli Umno mahu parti bertindak tegas terhadap mana-mana individu dalam Umno yang membelakangi Perlembagaan Parti.
Bagi mereka, sesiapa sahaja yang berada dalam Umno wajar mematuhi ketetapan parti yang dipersetujui dalam Persidangan Agung Umno dan bukannya mengeluarkan kenyataan mengkritik apa yang telah diputuskan parti.
Segala keputusan parti yang dibuat perlu melalui proses tertentu dan akan dibawa kepada Perwakilan Umno. Merekalah suara sebenar parti dan mewakili 3.6 juta ahli Umno seluruh negara.
Umno selepas Mei 2018 telah menerima pelbagai tekanan dari pihak lawan sehingga kehilangan jumlah kerusi di Parlimen kerana tindakan mereka yang telah melompat parti.
Ia ditambah dengan sikap segelintir individu dalam Umno itu sendiri yang membanding-bandingkan Umno dengan pihak lawan dan mula bersuara seolah telah diangkat sebagai jurucakap kepada parti lawan.
Malangnya, mereka ini masih mengekalkan kedudukan dalam Umno untuk kepentingan sendiri. Sudah tiba masanya Umno bertegas terhadap anasir bersifat parasit yang “berbaju Umno, berjiwa lawan”.
Apa perlu digusarkan ‘mereka’ yang berada dalam senarai ‘menunggu’ jika tidak melanggar Perlembagaan Parti? Malah, yang digantung keahlian Umno masih berpeluang membuat rayuan dan mengemukakan bukti bagi mempertahankan diri dari hukuman.