Tambat ringgit akan bebankan rakyat – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Penyelesaian drastik seperti tambatan ringgit atau kawalan modal dalam menangani kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) akan menyulitkan lagi dasar monetari.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penyelesaian yang diperdebatkan banyak pihak juga dilihat membebankan rakyat dengan kos pembiayaan lebih tinggi serta menggugat keyakinan pelabur terhadap negara.
“Barangan Malaysia mendapat permintaan dan asas ekonomi kita juga kukuh. Keadaan ini pada akhirnya akan mengukuhkan semula ringgit.
“Negara tidak memerlukan penyelesaian kuno seperti tambatan mata wang atau kawalan modal. Ini adalah langkah berisiko yang tidak lagi membuahkan hasil,” katanya ketika menyampai ucapan penutup Khazanah Megatrends 2022 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah Nasional), Datuk Amirul Feisal.
Mei lalu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan cadangan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan tambatan mata wang yang diamalkan semasa Krisis Kewangan Asia 1997 dalam menangani ketidaktentuan ketara nilai ringgit dalam pasaran pertukaran asing.
Sebelum ini, Gabenor Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan, tambatan ringgit mempunyai risiko dan penggantian (trade-off) yang besar serta ia bukan langkah yang terbaik untuk ekonomi Malaysia.
Katanya, kadar pertukaran yang fleksibel lebih wajar dikekalkan bagi membolehkan ekonomi negara membuat penyesuaian terhadap sebarang kejutan luaran dengan lebih baik.
Kadar pertukaran mata wang yang fleksibel, katanya memudahkan penetapan dasar monetari, iaitu pengurusan kadar faedah.
Justeru, beliau berkata, seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari yang mata wangnya menjadi asas ringgit ditambat.
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed juga mendedahkan gesaan menambat ringgit tidak wajar dikemukakan kerana tindakan sedemikian boleh ‘menakutkan’ pelabur dan memberi isyarat negatif kepada pasaran.
Katanya, langkah menambat ringgit memberi isyarat panik dan adalah lebih baik membiarkan kuasa pasaran menentukan kadar tukaran mata wang tempatan itu.
BNM dalam satu kenyataan baru-baru ini, kerajaan tidak bercadang menambat ringgit pada masa ini kerana langkah itu mempunyai risiko dan penggantian yang besar selepas idea awal dikemukakan Tun Mahathir pada Mei muncul kembali.
BHOnline