Lewat buka kunci pintu pagar stadium punca ramai terkorban

Kasut mangsa rempuhan yang ada di salah satu pintu pagar Stadium Kanjuruhan, di Malang, Indonesia ditaburi bunga oleh orang ramai. – Foto AP

MALANG – Kelewatan membuka kunci pagar di stadium bola sepak di Stadium Kanjuruhan di Jawa Timur, Indonesia selepas kekecohan pada penghujung perlawanan, menyumbang kepada peningkatan kematian.

Stadium itu penuh sesak petang Sabtu lalu dengan 42,000 ‘Aremania’, atau penyokong Arema FC (Arema), pada perlawanan menentang saingan sengit Persebaya Surabaya (Persebaya).

Namun, selepas kekalahan 3-2 Arema, yang pertama di tempat sendiri sejak lebih dua dekad kepada musuh mereka, peminat meluru ke padang untuk berdepan dengan pemain dan pengurusan.

Polis yang bertindak menembak gas pemedih mata bagi menyuraikan penyokong, sebaliknya menyebabkan rempuhan berlaku dan sekurang-kurangnya 131 penyokong termasuk 32 kanak-kanak terkorban.



Sehubungan itu, Ketua Polis Malang, Ferli Hidayat, dipecat susulan tragedi itu dan digantikan oleh Putu Kholis Aryana iaitu Ketua Polis Pelabuhan Tanjung Priuk Metro Jaya sebelum ini.

Lapor Kompas.com, Ferli pula akan ditugaskan sebagai Perwira Menengah Polisi (Pamen) di Jabatan Bidang Sumber Daya Manusia (SSDM) Polis Republik Indonesia.

“Keputusan ini dibuat oleh Ketua Polis Negara selepas mendapatkan laporan hasil analisis dan penilaian pasukan siasatan khas mengenai tragedi di stadium itu,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Indonesia, Dedi Prasetyo.

Menurut Dedi, Listyo turut mengarahkan Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta melucutkan jawatan sembilan anggota Komander Kompeni Batalion dan Komander Platun Brimbob Jawa Timur.



Dalam perkembangan sama, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap 28 anggotanya yang didakwa melanggar kod etika dalam tragedi Stadium Kanjuruhan.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memaklumkan sudah menggantung selama-lamanya ketua eksekutif dan penyelaras keselamatan pasukan Arema FC yang menjadi tuan rumah perlawanan.

Tindakan penggantungan itu dilaksanakan berikutan mereka gagal memastikan keadaan selamat di padang dan mengeluarkan arahan segera untuk membuka kunci pagar.

“Pintu pagar sepatutnya dibuka, tetapi ia dalam keadaan tertutup,” kata ketua suruhanjaya disiplin PSSI, Erwin Tobing.



Jurucakap PSSI, Ahmad Riyadh, memaklumkan jumlah petugas yang diarahkan membuka pagar tidak mencukupi kerana kekurangan pekerja, dan mereka tidak sempat tiba ke beberapa pagar apabila penonton mula bertempiaran selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Katanya, semua pintu pagar sepatutnya dibuka 10 minit sebelum perlawanan tamat, namun dalam kejadian Sabtu lalu, beberapa pintu masih berkunci walaupun selepas tujuh minit pengadil meniup wisel penamat, sekali gus menyumbang pada angka kematian bencana sukan antara yang tertinggi di dunia.

Foto dari stadium di Malang itu menunjukkan ada empat panel pintu yang bersambung membentuk satu pintu besar di mana secara keseluruhan terdapat 14 pintu keluar.

Bagaimanapun, polis semalam tetap menegaskan bahawa pintu pagar sudah dibuka, namun ia terlalu kecil dan hanya boleh memuatkan dua individu pada satu masa, sedangkan ratusan penonton cuba menyelamatkan diri.



Siasatan mereka mendapati kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan bahawa kebanyakan kematian berlaku di enam pintu utama.

Beberapa mangsa yang terselamat turut mengesahkan bahawa beberapa pintu dikunci, menghalang mereka menyelamatkan diri, terutama Pintu 13, yang juga lokasi paling banyak mayat ditemui.

Menurut saranan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), pintu masuk stadium perlu dibuka pada setiap masa ketika perlawanan berlangsung untuk keselamatan, selain tidak menyarankan penggunaan gas pemedih mata untuk mengawal penonton.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button