Empat wanita Britain teruja mulakan kerja baharu di Antartika

LONDON – Kedengaran aneh tetapi tidak bagi empat wanita Britain yang teruja memulakan kerja baharu mereka di sebuah pejabat pos paling terpencil dan paling sejuk di dunia dengan waktu siang yang panjang di Antartika.

Menariknya, empat wanita ini terpilih daripada 6,000 permohonan yang turut ingin merebut pengalaman kerja paling unik di Pulau Gouldier di Port Lockroy itu.

Lapor The Guardian, Mairi Hilton, Lucy Bruzzone, Clare Ballantyne dan Natalie Corbett, dipilih oleh badan amal Amanah Warisan Antartika United Kingdom (UK) untuk bekerja selama lima bulan dengan masing-masing diberi tugasan berbeza.



Walaupun perlu tidur di atas kayu keras, tanpa tenaga elektrik, tandas dengan cuaca di bawah parah beku, Corbett, 31, tetap bersemangat sekalipun pengantin baharu ini terpaksa berpisah sebentar dengan suaminya.

Corbet yang menjalankan perniagaan aksesori haiwan peliharaan di Hampshire akan bertanggungjawab mengendalikan kedai cenderamata di pangkalan tertua Britain di Semenanjung Antartika.

Hilton, 30, dari Scotland, yang mempunyai kepakaran bidang biologi pemuliharaan di Australia pula bertugas memantau koloni lebih 1,500 penguin gentoo.

“Ini pengalaman pertama saya di Antartika tetapi saya tidak tahu apa yang diharapkan bila tiba di sana, betapa sejuknya, adakah kita perlu menggali jalan melalui salji ke pejabat pos?” katanya.



Bruzzone, 40, dari London yang menghabiskan tiga bulan di Svalbard sebagai ketua saintis dalam ekspedisi Artik menjadi ketua pangkalan itu dan menyifatkan pekerjaan baharunya sebagai impian sepanjang hayat.

Ballantyne, 23, dari Lincolnshire yang baru sahaja menamatkan pengajian sarjana sains di Universiti Oxford menggalas tanggungjawab menguruskan kira-kira 80,000 kad yang dihantar dari pulau itu ke lebih 100 negara.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button