Sambutan Maulidur Rasul 2022

Sambutan Maulidur Rasul 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran

PUTRAJAYA: Sambutan Maulidur Rasul 2022 bertemakan Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Ahad ini

menampilkan kelainan dengan mengetengahkan inovasi atau suntikan elemen teknologi persembahan seni media pemetaan cahaya yang memaparkan tayangan grafik berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, persembahan khas juga diadakan bagi mengambil semangat kecintaan sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW.



Katanya, persembahan khas itu diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.

“Bagaimanapun, acara perarakan yang menjadi acara lazim sambutan pada setiap tahun tidak diadakan pada tahun ini,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Tema sambutan Maulidur Rasul 2022 tahun ini bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pendekatan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hadir pada majlis berkenaan.



Sambutan bermula jam 9.30 pagi ini turut dihadiri Perdana Menteri bersama isteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Hakimah berkata, seperti kelaziman sambutan ini turut mengadakan upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu yang layak.

Sambutan kali ini, katanya, akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak dan banyak memberi sumbanganbermakna dalam pembangunan ummah dan negara.

Katanya, penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan Islam yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.



“Pemilihan penerima ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button