‘Lebih 45 peratus orang dewasa sekitar Putrajaya obesiti’ – kajian
PUTRAJAYA: Satu projek rintis pelabelan maklumat kalori dalam menu makanan bakal dilaksanakan mulai awal tahun depan di kafeteria dan restoran terpilih di pusat pentadbiran ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata projek itu juga akan diperluaskan ke seluruh negara.
Beliau berkata, ketika ini Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengenalpasti kafeteria dan restoran yang akan mengambil bahagian dalam projek rintis itu.
Pada masa sama, katanya KKM juga melihat kerjasama dengan syarikat restoran makanan segera bagi membolehkan pelabelan maklumat kalori dalam menu makanan turut dapat dilaksanakan di rangkaian masing-masing.
“Sajian mereka tidak banyak berubah di rangkaian lain, jadi ini memudahkan pelaksanaan projek ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Anti Obes-City Putrajaya dan Pelancaran Modul Pengurusan Berat Badan Trim & Fit, di kementeriannya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Harjeet Singh.
Khairy berkata, melalui projek rintis itu kelak, KKM akan menyediakan segala persediaan termasuk maklumat pemakanan bagi memudahkan pengusaha kafeteria dan restoran.
“Mereka juga tidak perlu membelanjakan duit untuk mendapatkan juruperunding bagi melabelkan menu-menu makanan yang dijual,” katanya.
Beliau berkata, projek rintis yang dianggarkan mengambil tempoh antara enam bulan hingga setahun akan dinilai sebelum Dasar Pelabelan Menu Makanan putuskan untuk diwajibkan atau sebaliknya.
Dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS 2019) menunjukkan prevalen obesiti dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah 19.7 peratus manakala 30.4 peratus mengalami berlebihan berat badan atau satu daripada setiap dua orang dewasa Malaysia (50.1 peratus) berlebihan berat badan dan obes.
Masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam yang bekerja di agensi jabatan kerajaan mencapai 41.4 daripada jumlah berkenaan.
Tinjauan itu juga mendapati, Putrajaya adalah wilayah yang mencatatkan masalah obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa, iaitu sebanyak 45.8 peratus.
BHOnline