Pelabur asing jual RM272 juta ekuiti menjelang PRU15
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menyaksikan kembali pengaliran keluar bersih oleh dana asing berjumlah RM272 juta pada minggu lalu dalam minggu dagangan pendek menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
MIDF Research berkata, penjualan asing itu bermula pada Selasa minggu lalu, yang mana mencatatkan pengaliran keluar bersih tertinggi sebanyak RM185.5 juta.
“Trend pengaliran keluar itu berterusan dengan sebanyak RM79.9 juta dicatatkan pada Rabu dan RM62.2 juta pada Khamis,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Namun begitu, MIDF Research berkata, institusi tempatan pula menjadi pembeli bersih pada minggu lalu dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM152.5 juta.
Ia berkata, sebahagian besar pembelian bersih institusi tempatan dicatatkan pada Selasa sebanyak RM149.9 juta dan Rabu sebanyak RM39.2 juta.
“Sementara itu, Isnin dan Khamis menyaksikan jualan bersih institusi tempatan masing-masing sebanyak RM34.3 juta dan RM2.3 juta,” katanya.
MIDF Research berkata, peruncit tempatan beralih menjadi pembeli bersih minggu lalu dengan jumlah aliran masuk bersih mingguan sebanyak RM119.6 juta.
Katanya, ia adalah pembalikan positif berbanding penjualan bersih RM173.6 juta pada minggu sebelumnya.
“Peruncit memulakan minggu (lalu) dengan jualan bersih RM21.3 juta. Namun, mereka kemudian bertukar menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu dengan aliran masuk bersih RM35.6 juta pada Selasa, RM40.7 juta pada Rabu dan RM64.6 juta pada Khamis, tertinggi untuk minggu itu.
MIDF Research berkata, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih untuk 26 minggu daripada 46 minggu pada 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM5.91 bilion.
Ia berkata, institusi tempatan adalah penjual bersih selama 31 daripada 46 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.99 bilion.
Katanya, peruncit tempatan pula telah menjadi pembeli bersih untuk 29 daripada 46 minggu pada 2022, dengan sehingga kini mereka telah menjadi pembeli bersih sebanyak RM2.08 bilion.
“Dari segi penyertaan, terdapat kemerosotan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) oleh pelabur peruncit (-8.0 peratus), pelabur institusi (-3.3 peratus) dan pelabur asing (-0.1 peratus),” katanya.
BHOnline