Bayi perempuan ‘individu kelapan bilion di dunia’
MANILA: Bayi perempuan yang dilahirkan di Filipina, awal Selasa lalu, secara simbolik menjadi ‘individu kelapan bilion di dunia’, menurut laporan GMA News.
Berdasarkan laporan itu, bayi diberi nama Vinice Mabansag itu dilahirkan di Hospital Memorial Dr Jose Fabella, di sini, pada jam 1.29 pagi.
Ketua kakitangan profesional perubatan hospital itu, Dr Romeo Bituin berkata, pihaknya menyaksikan ‘bayi kelapan bilion dunia’ di Filipina.
“Kami menunggu kira-kira dua jam bermula jam 11 malam dan bayi itu dilahirkan kira-kira jam 1.29 pagi,” katanya.
Ibu Vinice, Maria Margarette Villorente, berkata, dia gembira kerana anak perempuannya dianggap sebagai ‘bayi kelapan bilion di dunia’, sambil menambah bahawa ia adalah satu rahmat untuknya.
Menurut laporan media, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meraikan 16 November lalu sebagai tarikh jangkaan penduduk dunia akan berjumlah lapan bilion.
Tiada maklumat tepat mengenai bayi berkenaan, namun bayi itu dijangka dilahirkan di kawasan Global Selatan. Ia merujuk kepada negara-negara di rantau Amerika Latin, timur Eropah, Afrika dan Oceania.
PBB menerusi laman sesawang Day of Eight Billion itu berkata; “Pada 15 November 2022, penduduk dunia diunjurkan mencecah lapan bilion orang, satu peristiwa penting dalam pembangunan manusia.”
Pertumbuhan itu tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan peningkatan jangka hayat manusia susulan penjagaan kesihatan awam semakin baik, pemakanan, kebersihan diri dan perubatan.
Hal itu juga disebabkan tahap kesuburan yang tinggi dan berterusan di beberapa negara.
PBB menganggarkan untuk mencapai populasi dunia sebanyak sembilan bilion pula akan mengambil masa 15 tahun lagi, disebabkan kadar pertumbuhan yang perlahan.
AGENSI